Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pharmaniaga: Banyak pihak nak beli vaksin Sinovac, belum tetapkan harga

Banyak kerajaan negeri dan badan luar negara yang telah menyatakan hasrat untuk membeli vaksin Sinovac Covid-19 dari Pharmaniaga Berhad, menurut pengarah urusannya Zulkarnain Md Eusope.

Bagaimanapun, Zulkarnain tidak mendedahkan berapa banyak dos vaksin yang akan dijual atau jika syarikat itu berhasrat untuk mendapat keuntungan dari penjualan tersebut.

Pharmaniaga adalah syarikat berkaitan kerajaan yang menjadi pemegang pendaftaran tunggal di Malaysia untuk vaksin Sinovac.

Selain mengimport vaksin itu dari China, ia juga membungkusnya secara domestik menerusi prosedur "fill and finish".

Bercakap pada sidang media dalam talian hari ini, Zulkarnain berkata Pharmaniaga akan mengutamakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) oleh kerajaan pusat sebelum menjualnya kepada pihak lain.

“Ada banyak negeri yang bertanya untuk pembelian vaksin ini, antaranya Selangor, Sabah, Perak, Pahang dan Johor. Sebenarnya, kita juga mendapat permintaan dari luar negara.

"Tetapi sekarang, fokus kami adalah untuk kerajaan persekutuan [...] mudah-mudahan pada bulan Jun dan Julai (pesanan akan) selesai, kemudian kita akan mulai meneliti di negeri-negeri dan juga sektor swasta.

"Jadi kita berharap pada minggu ketiga atau keempat bulan Jun, kita dapat mula hantar kepada pihak swasta," katanya.

Kerajaan Sarawak sebelum ini menyatakan hasrat untuk membeli 500,000 vaksin Sinovac Covid-19. Ia juga berhasrat membeli 500,000 dos lagi untuk fasa kedua vaksinasi.

Kerajaan Selangor pula ingin membeli 2.5 juta vaksin dan menjualnya kepada majikan swasta yang ingin memberi vaksin tersebut kepada kakitangan mereka. Program SelangkahVax dipercayai menggunakan vaksin Sinovac.

'Belum dapat wahyu'

Ketika ditanya berapa harga yang ingin diletakkan Pharmaniaga jika menjualnya dan sama ada ia bercadang untuk mendapatkan keuntungan daripada jualan itu, Zulkarnain berkata mereka belum mendapat "wahyu" mengenai perkara itu.

“Kita tak dapat 'wahyu' lagi. Jadi bila kita dapat 'wahyu' baru kita tahu.

"Dan mengenai vaksin, itu sangat sulit kerana kami tidak mahu ada isu dengan harganya," katanya.

Pihak Pharmaniaga menghubungi Malaysiakini menjelaskan bahawa "wahyu" yang dimaksudkan adalah "ilham" atau "idea".

Pharmaniaga dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan anak syarikatnya, Boustead Holdings Berhad.

LTAT adalah badan berkanun kerajaan yang menguruskan pencen anggota angkatan tentera. Ia diletakkan di bawah Kementerian Pertahanan.

Dalam pada itu, Zulkarnain menegaskan mana-mana pihak yang ingin membeli dan menyumbang vaksin Sinovac perlu berbuat demikian menerusi Pharmaniaga, bagi memastikan ketulenannya.

"Kami adalah pemegang pendaftaran produk. Jadi perlu kembali kepada kami, dan kita akan rujuk kepada Sinovac (untuk pastikan) vaksin tulen," katanya lagi.