Kemalangan LRT: Siasatan juga teliti punca selain 'kecuaian manusia' - Wee
Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata siasatan terhadap kemalangan LRT pada Isnin lalu sedang melihat faktor lain selain "kecuaian manusia".
"Kementerian Pengangkutan sedang meneliti secara terperinci berhubung persepsi yang semakin meluas bahawa 'kecuaian manusia' punca berlakunya kemalangan membabitkan dua buah tren LRT Kelana Jaya pada 24 Mei lalu.
"Ini kurang tepat. Saya ingin menjelaskan bahawa 'faktor manusia' hanyalah salah satu aspek dalam siasatan kerana banyak lagi faktor keseluruhan teknikal dan operasi turut diteliti," katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Wee berkata siasatan awal mendapati pertembungan dua tren di terowong bawah tanah antara stesen KLCC dan stesen Kampung Baru mendapati ada unsur "kecuaian" di pihak pemandu, dalam mengawal tren secara manual.
Agensi Pengangkuan Awam Darat (Apad) mendapati tren TR240 tanpa penumpang bergerak di arah yang salah dan kemudian bertembung dengan tren TR181.
Wee turut menggesa orang ramai agar bersabar dan memberi ruang kepada jawatankuasa siasatan melaksanakan tugas mereka.
Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Isham Ishak.
Sementara itu, Wee berkata daripada enam mangsa yang masih dirawat di hospital, tiga dalam zon kritikal.
Kemalangan mengejutkan itu melibatkan 213 penumpang dengan 67 daripadanya menerima rawatan hospital.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai