'Tiada pembaziran vaksin walau 10,000 tak hadir janji temu'
Tiada pembaziran vaksin COVID-19 dilaporkan walaupun seramai hampir 10,000 individu tidak hadir pada tarikh janji temu suntikan yang ditetapkan bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kelantan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan Datuk Dr Zaini Husin berkata individu yang sudah mendaftar dan tidak dapat hadir pada tarikh janji temu itu akan digantikan dengan individu lain dalam kriteria yang sama.
"Malah masih ramai rakyat Kelantan mengharapkan mereka mendapat suntikan vaksin lebih awal tanpa perlu menunggu tarikh yang akan diberikan melalui aplikasi MySejahtera," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Dr Zaini turut menasihati orang ramai untuk sentiasa menyemak MySejahtera bagi mengetahui status jemputan untuk vaksinasi.
"Sila patuhi tarikh dan masa janji temu. Jika tidak dapat hadir atas sebab tidak dapat dielakkan, maklumkan kepada pusat pemberian vaksin (PPV) untuk penjadualan semula janji temu," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai tidak dibenarkan hadir bagi 'walk-in' kerana setiap ketidakhadiran penerima telah ada senarai pengganti untuk dipanggil.
"Sabar menanti giliran masing-masing dan mendapat vaksinasi awal bukan bermakna tidak perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," tambahnya.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata setakat semalam, seramai 35,905 individu yang telah menerima suntikan dos pertama bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat negeri berkenaan.
Beliau juga menjelaskan seramai 66,314 orang daripada 125,744 individu berumur 60 tahun ke atas yang layak menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua program imunisasi di Kelantan telah mendaftar sebagai penerima vaksin dengan MySejahtera.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai