Kemalangan LRT: Tindakan 'salahkan pemandu' undang bantahan
Langkah Kementerian Pengangkutan yang meletakkan kesalahan kepada pemandu dalam kemalangan dua tren LRT dua hari lalu mengundang kecaman.
Bekas CEO Prasarana Malaysia Bhd Ridza Abdoh Salleh berkata gerabak yang tertegun atau dalam "timed-out" memang perlu dipandu secara manual, tetapi dengan arahan daripada pusat kawalan.
Pusat kawalan kemudian akan menghentikan operasi gerabak lain yang bergerak secara automatik bagi membolehkan gerabak tersebut menuju ke "re-entry point" sebelum kembali ke landasan dengan selamat, katanya.
"Prosedur ini bukan rahsia atau 'sains roket'. Ia dilakukan hampir setiap hari. Jika mereka gagal jalankan prosedur mudah ini, dan ia membawa kepada kemalangan, maka kita perlu bimbang. Ada banyak isu di sebaliknya.
"Bagaimana hostler boleh memandu di laluan yang salah?" katanya, seperti dipetik Free Malaysia Today.
Ridza terlibat dalam sektor LRT antara 1998 hingga 2010. Dia menjadi CEO Prasarana dari 2003 hingga 2005.
Insiden mengejutkan itu melibatkan gerabak TR40 yang dipandu uji kira-kira pada pukul lapan malam, menuju arah selatan. Sebelum tiba di stesen Kampung Baru, ia berhenti dan berpatah balik.
TR240 kemudian bertembung dengan gerabak TR181 yang bergerak dari stesen KLCC dengan 213 penumpang.
Setakat pagi semalam, seramai 21 mangsa menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Enam orang berada dalam keadaan kritikal dan 15 lagi berada dalam keadaan separa kritikal.
Semalam, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong berkata siasatan awal menunjukkan kemalangan berpunca daripada "kecuaian" hostler.
Ridza berkata kesilapan yang membawa tragedi seumpama itu tidak berlaku begitu saja.
"Ada isyarat, seperti bagaimana badan kita menunjukkan gejala bila kita sakit. Jika kita tidak mengendahkan tanda-tanda ini, ia boleh membawa kepada akibat yang teruk.
"Saya tidak salahkan orang yang bangkitkan persoalan, walau ia tak relevan. Kemalangan ini mencetuskan kebimbangan yang tidak dapat dikawal," katanya.
Sementara itu, bekas pegawai tugas khas menteri pengangkutan, Chung Yi Fan berkata sementara ada kemungkinan yang hostler memandu dengan arah yang salah - yang belum diputuskan secara muktamad - persoalan lebih besar adalah mengapa pandu uji dibuat pada pukul lapan malam.
Chung berkata, waktu itu dianggap sebagai "waktu perkhidmatan perolehan" dan pemeriksaannya dengan pakar industri membayangkan pandu uji pada waktu itu adalah di luar kelaziman.
"Biar saya ulang soalan ini kerana ia penting. Mengapa jalankan ujian ketika waktu perkhidmatan dan siapa yang arahkannya? Adakah Prasarana dalam tekanan untuk mengembalikan gerabak tertentu kembali digunakan?
"Letakkan kesalahan kepada kambing hitam adalah perkara terakhir yang patut dilakukan. Teliti sedalamnya, dan kenal pasti siapa orang yang sebenar-benarnya bertanggungjawab," katanya di Facebook semalam.
Katanya lagi, tanpa overhaul menyeluruh dalam menangani kelemahan organisasi dan sistemik, tak mustahil kegagalan sama akan berulang.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai