Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Waktu operasi jejaskan petani, peniaga sayur di Cameron Highlands - Adun

Petani dan peniaga sayur di Cameron Highlands terikat kepada waktu operasi perniagaan dari jam 8 pagi hingga 8 malam meskipun mereka berada dalam sektor perkhidmatan penting.

Adun Tanah Rata, Chiong Yoke Kong berkata, waktu operasi berkenaan sangat memberi kesan terhadap rantaian bekalan makanan di kawasan tanah tinggi itu.

Menyifatkan langkah itu sebagai tidak realistik, Chiong berkata waktu operasi itu juga tidak sesuai untuk sektor pertanian kerana akan menjejaskan kesegaran sayur-sayuran.

Dia juga telah menulis surat kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan dan kepada Majlis Daerah Cameron Highlands (MDCH) berhubung perkara itu.

“Saya sangat kecewa dengan pelbagai peringkat agensi kerajaan, terutama MDCH.

"Walaupun kerajaan telah memerangi wabak ini selama lebih satu tahun, mereka masih gagal membuat SOP yang tepat untuk industri pertanian dan mengulangi kesalahan yang sama seperti tahun lalu," keluhnya.

Katanya, sekiranya pihak berkuasa mengehadkan waktu operasi bagi sektor itu,  proses pembungkusan dan penghantaran sayur-sayuran pasti akan terjejas.

"Sebagai contoh, jika produk dihantar ke Singapura atau Kuala Lumpur, petani hanya akan memetik sayur pada waktu petang dan membungkus sayur-sayuran pada waktu malam.

"Kemudian pemandu akan menghantar produk berkenaan pada tengah malam sehingga sayur-sayuran segar dapat dibekalkan ke pasar pada awal pagi.

"Tetapi sekarang para petani dan peniaga hanya boleh bekerja antara pukul 8 pagi hingga 8 malam. 

"Ini tentunya telah mengganggu rantaian bekalan termasuk pengeluaran dan pembekalan sayur-sayuran di pasaran, ”jelasnya.

Yang Dipertua Majlis Daerah Cameron Highlands, Ishak Md Napis mengesahkan sektor pertanian di Cameron Highlands mesti beroperasi mengikut SOP terbaru yang ditetapkan  Majlis Keselamatan Negara (MKN)

"Ya ... harus ikut (waktu operasi) dari jam 8 pagi hingga 8 malam selaras arahan MKN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Ketika ditanya adakahsektor pertanian perlu mempunyai waktu operasi yang lebih fleksibel, Ishak berkata mereka hanya mengikut arahan MKN.

Namun, katanya pihak berkuasa akan mempertimbangkan untuk menyesuaikan waktu operasi bagi sektor itu.

Malaysiakini juga telah menghubungi Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob dan pejabatnya bagi mengulas perkara itu namun tidak berjaya setakat ini.

[Baca berita penuh]