Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Annuar pujuk orang Kelantan beramai-ramai ambil vaksin

Terkejut dengan laporan media mengenai hampir 10,000 penduduk Kelantan yang berdaftar tidak tampil menerima vaksin Covid-19, Anggota Parlimen Ketereh tampil memujuk rakyat di negerinya supaya turut serta dalam program imunisasi kebangsaan.

Menurut Annuar Musa di negeri lain orang ramai berebut-rebut malah sanggup mengeluarkan wang sendiri kerana mahukan suntikan tersebut ketika pengagihan yang dijalankan dianggap perlahan sekarang.

"Ada sesetengah, di negeri Selangor (misalnya) sampai sanggup nak bayar RM300 hingga RM 400 untuk dapatkan suntikan vaksin.

"Kalau di Kuala Lumpur pula, ramai yang hubungi saya untuk dapatkan suntikan ini.

"Tapi bila saya dengar di Kelantan, hampir 10,000 orang yang sudah dijadualkan untuk cucuk vaksin tapi tidak hadir pada hari sepatutnya," kata Annuar.

Dia yang juga ahli parlimen Ketereh berkata awalnya berita tersebut sekadar khabar angin saja.

Justeru kata Annuar dia bertanya kepada pihak yang berkenaan dan terkejut apabila kejadian tersebut disahkan - ramai orang Kelantan gagal menghadiri janji temu suntikan vaksin.

"Kenapa jadi sampai macam tu? Barangkali ada yang was-was atau takut, atau masalah pengangkutan untuk pergi dapat suntikan?" katanya dalam satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook hari ini.

Annuar yang juga menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian untuk berkempen mengajak rakyat Kelantan khususnya di Ketereh supaya mengambil peluang mendapatkan dos vaksin Covid-19.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan hampir 10,000 penduduk di Kelantan khususnya golongan warga emas (berusia 60 tahun ke atas) dikesan gagal menghadirkan diri untuk menerima vaksin sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata antara punca ketidakhadiran mereka adalah disebabkan masalah kesihatan.

Covid-19 bukan benda tipu

Menurutnya, terdapat juga di kalangan mereka yang tidak dapat hadir disebabkan masalah peribadi dan menunda janji temu ke tarikh lain. 

Annuar berkata, wabak Covid-19 sememangnya bahaya dan bukan perkara yang berbentuk penipuan.

"Di sini, saya menegaskan bahawa bahayanya Covid-19 ini kerana kadang-kadang tiada simptom, sampai masa dan satu tahap, tidak boleh bernafas dan terus ke peringkat kritikal sehingga boleh menyebabkan kematian.

"Nak cakap pasal mati, memang kita akan mati sebab itu semua kerja tuhan, tapi ikhtiar untuk lawan penyakit ini wajib.

"Jadi kerajaan, di negara kita ini bagi vaksin percuma. Kalau ikut harga sebenar memang banyak ratus, tapi kerajaan tanggung segala-galanya.

"Jadi saya rasa, saya nak ambil peluang untuk menyeru rakyat Kelantan untuk ambil suntikan vaksin memandangkan sekarang kes semakin meningkat tinggi," katanya.

Mengambil contohnya di kawasan Mukim Pauh Lima Annuar berkata sebanyak 260 keluarga dikenakan perintah kawalan diperketatkan (PKPD).

Tambahnya, rakyat juga dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) termasuk larangan menunaikan solat secara berjemaah di masjid.

Katanya, sudah banyak kes penularan wabak itu dilaporkan berpunca daripada aktiviti solat berjemaah di masjid atau surau.

"Jadi, saya rasa Covid-19 ni memang bahaya, bukan benda tipu. Ketua Polis Kuala Lumpur datang berjumpa saya dan menyatakan ada seorang anggota polis minggu lepas, mak dan ayah serta adik beradik mati dalam seminggu kerana jangkitatan Covid-19.

"Ada berita lain saya dengar, ada jemaah beramai-ramai yang buat solat tarawih dalam gelap.

"Solat memang perkara baik, tapi macam mufti cakap, zaman Rasulullah ada sahabat yang makan bawang putih pun nabi dah nasihat kepada sahabat untuk tidak pergi ke masjid kerana dibimbangi berbau dan mendatangkan rasa tidak selesa kepada jemaah lain.

"Kalau ikutkan kisah itu, itu baru bawang putih, apatah lagi keadaan sekarang iaitu wabak Covid-19," tambah Annuar.