Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis sahkan mercun punya hal

Polis Kelantan mengesahkan kemalangan yang menyebabkan seorang lelaki terbunuh dalam letupan sebuah kereta di Kampung Sireh, Kota Bharu, baru- baru ini adalah berpunca daripada letupan mercun yang dibawa mangsa.

Ketua Polis Kelantan DCP Shafien Mamat berkata, saksi ada melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa dia ternampak asap keluar dari bonet kereta berkenaan sebelum kereta meletup.

“Berhubung dengan kes letupan di Kampung Sireh, saksi di belakang kereta dan yang paling hampir ada melihat asap keluar dari dalam bonet sebelum meletup.

“Jadi, kita masih lagi menunggu laporan penuh dari dua agensi iaitu forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Kes ini melibatkan letupan mercun dalam kereta itu sendiri dan kita masih menunggu keputusan siasatan lanjut bagaimana letupan itu boleh berlaku oleh kedua-dua agensi ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Shafien Mamat 

Dia berkata sedemikian apabila ditanya mengenai perkembangan siasatan insiden kereta meletup dan terbakar dalam kejadian 21 Mei lalu.

Laporan awal kejadian itu dikatakan berpunca daripada petir dan turut dikaitkan dengan letupan mercun.

Sementara itu, Shafien berkata lagi, siasatan pihaknya mendapati terdapat pelbagai jenis mercun dalam kereta berkenaan.

“Dalam kereta tersebut bukan sahaja ada mercun bola, tapi ada beberapa jenis mercun yang lain.

“Antaranya seperti mercun papan. Jadi sebab itu beberapa sampel diambil untuk analisis,”jelasnya.

Shafien juga menjelaskan, punca seperti rokok dan kilat seperti yang dinyatakan saksi baru-baru ini adalah tidak benar.

Dalam perkembangan sama tambahnya, pihak polis juga sudah membuat sempadan yang ketat untuk kes seludup mercun ini.

“Sebenarnya untuk makluman, kawalan di sempadan agak ketat sekarang ini, selain daripada sekatan jalan raya, kita juga mempunyai kawalan sempadan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) dan seingat saya awal tahun ini, pasukan ini ada membuat jumlah tangkapan mercun yang agak besar.

“Jadi memang ketat kawalan sempadan dengan PGA di situ dan Angakatan Tentera Malaysia (ATM) dan saya percaya kita tiada kompromi dengan kesalahan begini,” kata Shafien.