Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pengguna LRT bimbang kesesakan di stesen, gerabak akibat kekerapan berkurang

Pengguna di Transit Aliran Ringan (LRT) menyuarakan kebimbangan berkenaan tindak balas susulan insiden kemalangan semalam, ditambah pula dengan pengurangan operasi tren berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menurut mereka, ia telah mengakibatkan penumpang terpaksa berkumpul di ruang yang terhad di stesen, sehingga melanggar penjarakan fizikal.

NGO berkaitan pengguna pengangkutan awam, Transit Malaysia dalam satu ciapan berkata RapidKL telah mengurangkan kekerapan LRT, MRT, monorel dan bas kepada setiap 10 hingga 30 minit, iaitu pengurangan sebanyak 50 peratus dari kekerapan asal.

“Kami agak risau. Walaupun dikatakan SOP adalah untuk kurangkan kapasiti penumpang 50 peratus dalam kenderaan, pengurangan kekerapan akan memenuhkan lagi kenderaan,” katanya.

Pengguna Twitter @nizamiks pula bersikap lebih berterus terang. Dia merupakan salah seorang yang turut berkongsi gambar kesesakan di stesen LRT di media sosial.

Dalam hantarannya itu, dia berkongsi gambar suasana di stesen LRT Pasar Seni yang diperolehi dari rakannya.

“Sebab SOP baru di tren, sekarang tren jadi pack macam sardin balik.

“Penjarakan fizikal ke laut. Caca marba punya SOP,” katanya.

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini, berkata perkhidmatan itu akan beroperasi dengan kekerapan setiap 10 minit pada waktu puncak dan 30 minit pada waktu biasa, serta pengurangan kapasiti sebanyak 50 peratus, berikutan pengumuman kerajaan mengenai langkah-langkah yang lebih ketat dalam pelaksanaan PKP terbaru.

“Para penumpang dijangka perlu menunggu dengan lebih lama sedikit daripada biasa. Kekerapan tren mungkin akan diubah suai mengikut keperluan semasa operasi,” menurut kenyataan itu.

Untuk melancarkan pergerakan para penumpang pada waktu puncak, lima buah bas perantara dua tingkat percuma, dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, turut disediakan untuk membawa penumpang ke mana-mana stesen di antara Stesen Pasar Seni dan Stesen Ampang Park.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh tiga hari, setelah semua kerja-kerja pembersihan dan pemulihan selesai.

Prasarana juga telah mengambil langkah proaktif dengan menjalankan kerja-kerja sanitasi di Stesen KLCC serta di kawasan sekitarnya bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

Pemilik akaun @njwznl.YL pula berkata ia bukanlah peraturan yang baik.

"Saya penumpang yang kerap...Mereka patut lihat perkara ini dengan serius, bukan buat SOP separuh masak," katanya lagi.

CODE: