Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PULASAN | Surat terbuka memohon izin berjenaka

SATIRA | Ke hadapan Yang Amat Berhormat Menteri Keseriusan,

Terlebih dahulu saya menyusun 10 jari memohon maaf atas kemunculan surat ini ketika tuan sedang sibuk mengatur pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat terbanyak di bawah ini.

Sebelum saya melanjutkan isi surat ini izinkan saya mengucapkan selamat hari raya kepada tuan. Walaupun sudah 13 Syawal hari ini, suasana hari lebaran ternyata sangat terasa pada kami.

Manakan tidak. Suasana pada hari ini hampir sama sepenuhnya dengan kemeriahan 1 Syawal lalu. Kami rakyat marhaen ini berkurung di dalam rumah, tidak ke mana-mana kecuali berhari raya dan bersalam-salaman dengan anak isteri saja kerjanya.

Kami yakin suasana hari raya ini akan kami rasai berterusan sekurang-kurangnya sehingga 26 Syawal atau 7 Jun nanti. Terima kasih atas wawasan jauh pihak kerajaan untuk kami ini.

Tuan yang dihormati,

Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk memohon kepada pihak kerajaan memberi sedikit kelonggaran ke atas peraturan yang memerlukan kami sentiasa serius. Nampaknya sekarang ini berjenaka juga seakan-akan suatu dosa.

Dalam keadaan sekarang orang ramai perlukan sedikit ruang untuk berjenaka atas sebab-sebab yang akan saya nyatakan di bawah.

Sebelum itu izinkan saya menjelaskan bahawa ketawa juga merupakan hak asasi manusia di mayapada ini. Mengapa kita ketawa? Pada dasarnya seseorang manusia akan ketawa apabila melihat suatu kejanggalan pada norma yang diterima ramai.

Misalnya seorang doktor menasihati pesakitnya yang demam agar usah mengambil sebarang ubat sebaliknya hanya membanyakkan minum air suam. Atau surirumah yang mengaku boleh berbual-bual dengan virus Covid-19. Itu sekadar contohlah.

Orang juga boleh ketawa apabila melihat wakil rakyat mereka tiba-tiba menjadi sangat membumi menjelang pilihan raya walaupun sebelum itu hidungnya meninggi mengalahkan KLCC.

Akan tetap masuk neraka

Amalan menasihati orang ramai agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika dia sendiri melanggarnya juga sejenis aksi yang boleh membuat rakyat ketawa berdekah-dekah. Percayalah.

Di atas semua itu, ada pula sesetengah agamawan yang gigih enggan kalah. Juga ahli politik yang menjadi agamawan - atau sebaliknya agamawan yang menjadi orang politik - mereka juga mahu mencipta kelainan dan kenadiran. Maha lahirlah kepandiran.

Untuk makluman tuan, majalah Scientific American menyatakan, manusia boleh ketawa seawal usianya tiga bulan. Ketawa dikenali bayi sebelum dia tahu berkata-kata pun.

Tetapi manusia bukanlah satu-satunya makhluk ciptaan Tuhan yang reti ketawa. Pada Jun 2015 majalah National Geographic menyiarkan laporan bahawa uji kaji sains menunjukkan haiwan daripada keluarga beruk - dan tikus - juga tahu ketawa.

Gambar hiasan.

Ketawa adalah salah satu cara untuk manusia membina jaringan hubungan sosial. Potensi untuk seseorang yang berada dalam kumpulan ketawa adalah lebih tinggi - sehingga 30 peratus - berbanding ketika dia bersosial dalam jumlah yang terhad.

Barangkali itulah yang berlaku di beberapa stadium semasa Liga Perdana Inggeris melangsungkan perlawanan terakhir untuk musim 2020/2021 di England malam semalam.

Di stadium yang besar pihak berkuasa membenarkan sehingga 10,000 orang menyaksikan perlawanan kelab pujaan mereka ketika kita masih ke kiri dan ke kanan mencari jalan untuk menyelesaikan masalah rantaian wabak Covid-19. Kita seolah-olah ditimpa sumpahan Mahsuri untuk dirantai oleh PKP sehingga entah berapa lama lagi.

Cuma itulah, mereka itu negara kafir. Dan sebaik mana pun mereka menguruskan hidup rakyat, akan ke neraka akhirnya. Sedangkan kita di sini, setumpul mana pun langkah yang diambil - dan selucu mana pun justifikasinya - pasti akan mendiami syurga jua.

Tuan yang terhormat,

Ketika ini saya berasa izin atau hak untuk melawak lebih tertumpu kepada kalangan orang tertentu saja, khususnya menteri, timbalan menteri, orang politik dan individu tertentu yang kadang-kadang tidak mampu kami sentuh.

Hampir semuanya adalah pelawak. Atau sekurang-kurangnya memiliki bakat sebagai 'komika' sama ada secara solo atau berkumpulan. Lucunya mereka itu sehingga membuatkan kami - rakyat di bawah ini - sesekali berasa murung pula.

Hal yang sangat lucu

Justeru timbullah juga sedikit rasa dengki di hati kami akan kelebihan yang ada pada golongan berkenaan itu. Kami berasa sebagai rakyat di sebuah negara yang sangat subur sistem demokrasinya ini, kami juga berhak diberikan sedikit ruang untuk berlawak jenaka.

Demi kesejahteraan negara, kami berjanji untuk melawak dengan acuan Malaysia. Dengan piawaian adab yang ditetapkan oleh kerajaan Melayu Islam sekarang, tentunya. Tuan bolehlah menilainya nanti. Kemudian mengkategorikannya dengan nilai satu, nilai dua atau nilai tiga.

Maaf, mohon persetankan kalau ada orang politik yang tidak senang dengan label kerajaan Melayu Islam itu. Rasa tidak senang kepada label itu juga adalah jenaka, sama halnya dengan label itu sendiri.

Tuan yang kami raikan,

Untuk permulaan izinkan kami berjenaka tentang peletakan jawatan seorang menteri negara sebagai langkah mengambil tanggungjawab atas kemalangan yang menimpa lebih 200 orang awam dalam tren Transit Aliran Ringan (LRT) malam tadi.

Kami perlu jenakakan hal itu kerana sekarang ia dirasakan sangat lucu. Kalau di negara luar peletakan jawatan kerana mengambil tanggungjawab sebegitu langsung tidak kelakar. Ia bukan jenaka sama sekali.

Seorang menteri akan berundur secara terhormat jika ada operasi bawah tanggungjawabnya gagal. 

Jika sistem pengangkutan awam menyusahkan - apa lagi mencederakan - orang ramai, dia akan berasa malu. Dia - menteri itu - sudah tentu bukan pemandu bas, misalnya. Tetapi dia tahu dirinya gagal sebaik saja kemalangan berlaku.

Gambar hiasan, Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong tiba di lokasi kemalangan LRT.

Kerana apa kami menganggap jenaka peletakan jawatan menteri di negara ini amat lucu?

Kerana seperti yang saya nyatakan di atas, ketawanya manusia berpunca daripada perbuatan yang langka. Yang luar biasa. 

Di luar negara melepaskan jawatan kerana gagal berfungsi dalam kerajaan bukan sesuatu yang jarang berlaku. Di sini, ia adalah hal yang amat nadir. Justeru ia amat lucu.

Dan terakhir, kami berasa sudah pasti kerajaan memang akan memberikan hak untuk rakyat di bawah ini berketawa untuk mengurangkan duka nestapa. Jika tidak, terbuktilah taraf kami ini diletakkan lebih rendah daripada haiwan beruk dan tikus tadi.

Cukuplah virus Covid-19 itu membunuh deria bau dan rasa manusia. Jangan pula tuan membunuh deria lucu dan jenaka kami.

Gambar hiasan, menteri prihatin ke lokasi tragedi LRT.

Untuk makluman tuan, sebagai inspirasi saya menulis surat ini dengan iringan lagu Orkes Sakit Hati nyanyian Slank.

Walaupun sudah berusia 22 tahun sejak lagu itu digubah, entah mengapa ia masih relevan sehingga kini. Malah ia menjadi lebih relevan pada hari ini.

Sekian. Salam patuh SOP PKP.

Yang dengki lagi iri hati,

Saya.


AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini adalah satira yang perlu dibaca secara santai bersama hati yang dingin. Ia sama sekali tidak mencerminkan pendirian rasmi portal berita ini.