Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

12 hospital swasta mula beroperasi sebagai PPV mulai esok

Sebanyak 12 hospital swasta akan mula beroperasi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) mulai esok.

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth), Anas Alam Faizli berkata dengan pembabitan hospital swasta itu sebanyak 2,250 dos vaksin Covid-19 dapat diberikan setiap hari melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Dan ia akan terus dipertingkatkan setiap minggu," katanya melalui Twitter hari ini.

Untuk rekod ProtectHealth merupakan adalah anak syarikat milik penuh ProtectHealth Malaysia yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang tidak berasaskan keuntungan.

Ia menyelaras, mentadbir dan menguruskan inisiatif berkaitan dengan pembiayaan perkhidmatan penjagaan kesihatan seperti diamanahkan oleh KKM.

ProtectHealth adalah pentadbir Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40), pengendali perkhidmatan elektronik (ESP) Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) dan pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dalam PICK.

Berdasarkan senarai diedar KKM hari ini, lima hospital swasta terbabit terletak di Negeri Sembilan, lima yang lain di Sarawak manakala bakinya di Selangor.

Berikut adalah hospital yang disenaraikan:

Sarawak

· Hospital Columbia Asia, Miri

· Hospital Pakar KPJ Kuching

· Pusat Perubatan Rejang

· Pusat Perubatan Timberland

· Pusat Perubatan Borneo

Negeri Sembilan

· Pusat Perubatan Nilai

· Hospital Pakar Senawang

· Hospital UCSI

· Hospital Pakar KPJ Seremban

· Pusat Perubatan Mawar

Selangor

· Hospital Pakar KPJ Selangor, Shah Alam

· Pusat Perubatan MSU, Shah Alam

Pengumuman itu dibuat ketika kerajaan berusaha meningkatkan jumlah penerika vaksin sehingga 150,000 suntikan sehari dalam tempoh dua bulan akan datang.

Negara menjangkakan lebih banyak bekalan vaksin tiba di Malaysia pada Jun dan Julai ini.

Secara purata Malaysia mengagihkan 42,025 dos vaksin Covid-19 sehari dalam tempoh 14 hari sehingga 22 Mei lalu. Ia termasuk jumlah yang sangat terhad diberikan semasa cuti Aidilfitri baru-baru ini.

Kadar tertinggi dicatatkan setakat ini ialah pada 19 Mei apabila 83,648 dos vaksin Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac diberikan dalam satu hari. 

[Baca berita asal]