Vaksin: Badan Peguam gesa k'jaan utamakan pengamal undang-undang
Kerajaan digesa memberikan keutamaan kepada pengamal undang-undang bagi program imunisasi Covid-19 memandangkan mereka memainkan peranan penting dalam masyarakat dan ekonomi negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, Presiden Badan Peguam Malaysia, AG Kalidas berkata terdapat keperluan untuk memperkuatkan sistem perundangan kerana ketidaktentuan yang disebabkan oleh wabak Covid-19.
"Pada awal Mac 2021, Badan Peguam Malaysia telah menulis surat kepada pihak berwajib untuk meminta vaksinasi awal kepada para peguam, badan kehakiman dan mereka yang berada dalam perkhidmatan kehakiman dan undang-udang.
"Kami harus berupaya melaksanakan tugas dan tanggungjawab kami tanpa dihalang oleh kekangan yang disebabkan oleh wabak ini, agar keadilan dapat disampaikan dengan cepat dan tepat," katanya.
Kalidas berkata vaksinasi perlu dipercepatkan terutama bagi mereka yang terlibat dalam sistem keadilan jenayah.
Sebagai contoh, Kalidas berkata, peguam yang mewakili tertuduh yang ditahan di penjara atau pusat tahanan mungkin berdepan risiko lebih tinggi dijangkiti Covid-19.
"Hakim dan pegawai kehakiman dan perundangan juga menghadapi risiko tinggi dijangkiti virus itu kerana kerja mereka," katanya.
Katanya terdapat juga peguam yang berurusan dengan agensi kerajaan seperti pejabat tanah, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Suruhanjaya Syarikat, sekali gus memainkan peranan penting dalam ekonomi negara.
"Oleh itu, Badan Peguam Malaysia mendesak kerajaan mempertimbangkan untuk membenarkan mereka yang berada dalam profesion perundangan, badan kehakiman dan perkhidmatan kehakiman dan perundangan diberi vaksin dalam waktu terdekat, untuk melindungi hak-hak rakyat Malaysia pada masa-masa yang penuh gejolak ini," katanya.
Di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terkini, mahkamah beroperasi seperti biasa walaupun beberapa mahkamah menjalankan prosiding secara dalam talian.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai