Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

DAP minta Muhyiddin umum pakej rangsangan untuk PKP 3.0

DAP terus mendesak Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej rangsangan ekonomi berdasarkan anggaran kerugian sektor ekonomi sebanyak RM400 juta disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0.

Setiausaha agungnya, Lim Guan Eng, berkata jangkaan kerugian sektor ekonomi dalam tempoh PKP 3.0 yang berlanjutan sehingga 7 Jun ini dianggarkan kira-kira RM57 bilion.

"Muhyiddin memetik bahawa mata pencarian ekonomi adalah sebab mengapa tidak ada sekatan penuh seperti PKP 1.0 yang menyebabkan kerugian RM2.4 bilion sehari.

"Sekiranya itulah sebabnya, mengapa Muhyiddin tidak mengumumkan sebarang langkah kewangan untuk menyelamatkan pekerjaan dan perniagaan di bawah PKP 3.0 yang menyebabkan kerugian RM400 juta sehari?

"Sekiranya Muhyiddin mengutamakan ekonomi, maka dia harus lakukan seperti apa yang dikatakan dengan menawarkan bantuan kewangan kepada rakyat bagi mengatasi kerugian yang ditanggung di bawah PKP 3.0.

"Sekiranya kerugian harian ekonomi RM2.4 bilion di bawah PKP 1.0 memerlukan enam pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion, maka anggaran kerugian ekonomi harian RM400 juta di bawah PKP 3.0 memerlukan jumlah yang setara sebanyak RM57 bilion," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Malam tadi Muhyiddin mengakui secara peribadi dia berpendapat melaksanakan PKP total seperti pernah dilaksanakan kali pertama pada tahun lalu adalah cara terbaik mengekang Covid-19.

Malah menurut perdana menteri itu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memang mencadangkan pelaksanaan PKP total sebagai pilihan terbaik

Pun begitu Muhyiddin menjelaskan kesan ekonomi yang diakibatkan oleh pelaksanaan PKP total sangat besar dan ekonomi negara hampir runtuh sehingga beratus bilion diperlukan untuk memulihkan keadaan. 

Lim yang juga bekas menteri kewangan berkata, berbanding RM57 bilion, DAP mencadangkan pakej rangsangan ekonomi baru bernilai RM45 bilion bagi membantu menyelamatkan dan mencipta peluang pekerjaan, memperlahankan penutupan perniagaan dan melindungi punca pendapatan.

Jelas Lim pekerja dan perniagaan kecil perlu mendapat faedah secara terus dalam bentuk kenaikan bayaran bulanan bantuan kebajikan masyarakat kepada RM1,000; insentif upah dan pengambilan pekerja kepada majikan dan pekerja; digitalisasi pendidikan bagi membolehkan pembelajaran atas talian; moratorium pinjaman bank automatik (kecuali untuk T20) dan RM23 bilion dalam bentuk geran, pelanjutan pinjaman kredit, sewa dan subsidi utiliti.

"Seharusnya tidak ada lagi tragedi berulang membabitkan rakyat tidak menikmati manfaat penuh daripada enam pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion yang telah diberikan sejak tahun lalu," katanya.

Tambahnya sebelum ini Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz menganggarkan kerugian harian ekonomi untuk PKP 1.0 ialah RM2.4 bilion, RM400 juta di bawah PKP 2.0, dan menjangkakan anggaran jumlah kerugian sama bagi PKP 3.0 dengan peraturan semasa.

Antara lain sebilangan besar sektor perniagaan dibenarkan beroperasi, manakala sesi persekolahan dan aktiviti berbentuk perjumpaan dilarang.