Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Najib MC lepas pembedahan mata, bicara kes 1MDB ditangguh

KES 1MDB NAJIB | Bekas perdana menteri Najib Razak kini sedang dalam cuti sakit selepas menjalani pembedahan mata minggu lepas.

Ia menyebabkan perbicaraan kes rasuah dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion hari ini ditangguh ke esok.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebentar tadi membenarkan penangguhan setelah peguam Muhammad Shafee Abdullah memberitahu perkara itu.

Menurut Shafee, Najib menjalani pembedahan pada Khamis lalu dan dia diberi cuti sakit selama tujuh hari, bermula 21 Mei.

"Penglihatannya tidak jelas, dia malah tidak dapat tandatangani cek," katanya, sambil menambah salinan surat perubatan berhubung keadaan Najib sudah diserahkan kepada mahkamah.

Bagaimanapun hakim Collin Lawrence Sequerah hanya membenarkan penangguhan selama sehari dengan perbicaraan akan disambung esok.

"Dia (Najib) boleh duduk saja (di kandang tertuduh) dan tak buat apa-apa (sementara mengikuti perbicaraan).

"Kita jumpa di sini esok. Kita beri pelepasan kepadanya hari ini. Perbicaraan bersambung 9.30 pagi esok," katanya.

Pada masa sama Sequerah berkata mereka akan menilai semula keadaan esok, sama ada Najib boleh hadir ke perbicaraan atau tidak.

Najib dibicarakan atas empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

Selain bekas perdana menteri, dia juga bekas menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB adalah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada minggu ini, bekas CEO 1MDB Mohd Hazem Abd Rahman dijangka akan diperiksa balas oleh pasukan peguam Najib.

[Baca berita asal]