Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

MP Segambut gesa badan kehakiman dimasukkan dalam vaksinasi Fasa 2

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mendesak kerajaan untuk mempercepat vaksinasi hakim dan majistret di bawah Fasa 2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Yeoh dalam satu kenyataan menyatakan bahawa anggota badan kehakiman tidak dimasukkan dalam fasa pertama PICK sebelum ini dan perlahan-lahan dimasukkan dalam program vaksin yang sedang berlangsung.

"Eksekutif dan Legislatif masing-masing telah divaksin pada Fasa 1. Kehakiman belum divaksin.

"Legislatif telah divaksin sepenuhnya namun Parlimen tetap ditutup. Badan kehakiman belum divaksin sedangkan mahkamah terus beroperasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

"Ketiga-tiga cabang itu seharusnya diperlakukan secara adil dan saksama.

"Beberapa hakim masih menunggu janji temu dan ada yang memilih vaksinasi sukarela AstraZeneca," katanya.

Tambah Yeoh badan kehakiman berperanan sebagai barisan hadapan untuk memastikan keadilan dan rakyat Malaysia tidak boleh dihalang untuk mendapatkan hak itu.

"Oleh itu, hakim, majistret dan kakitangan mahkamah perlu diberi vaksin dengan segera di bawah Fasa 2.

"Kita tidak boleh membiarkan fungsi kehakiman negara terhenti atau terhalang, kerana keadilan ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan," tegasnya.

Kerajaan dikritik susulan kadar vaksinasi yang disifatkan perlahan.

Bekas perdana menteri Najib Razak mendakwa bahawa berdasarkan kadar semasa, Malaysia akan mengambil masa enam tahun sebelum mencapai imuniti kelompok.

Khairy Jamaluddin sebagai menteri yang menyelaras PICK, bagaimanapun, menegaskan bahawa kadar vaksinasi akan meningkat pada bulan-bulan berikutnya apabila semakin banyak bekalan vaksin diterima.