Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pegawai perikanan sekali lagi didakwa terima suapan

Seorang pegawai perikanan sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Bharu, Kelantan, hari ini, dengan lima pertuduhan menerima suapan bernilai RM31,425 daripada sebuah syarikat milik adik iparnya, kira-kira dua tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Rafi Hasan, 56, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan hakim Zaman Mohd Noor.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh sebagai Ketua Cawangan Akuakultur di Pejabat Perikanan Negeri Kelantan didakwa menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan apabila meluluskan pesanan kerajaan kepada YY Indah Enterprise yang dimiliki adik iparnya bagi membekal dan menghantar benih 1,000 ekor ikan kerapu hibrid bernilai RM6,900 pada 22 Januari 2019.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mendapatkan suapan dengan meluluskan pesanan kerajaan atas nama pembekal yang sama bagi membekal dan menghantar hormon pembiakan ikan ke Pusat Pengembangan Akuakultur Machang dengan nilai RM7,500, pada 31 Januari 2019.

Bagi pertuduhan ketiga, lelaki itu didakwa mendapatkan suapan meluluskan pesanan kerajaan atas nama pembekal yang sama bagi membekal makanan hidup kepada rega ikan ternakan (Artemia) bernilai RM15,800, 27 Mac 2019.

Sementara itu pertuduhan keempat dan kelima, dia didakwa mendapatkan suapan meluluskan pesanan kerajaan kepada pembekal yang sama bagi membekal hormon overprim kepada penternak ikan air tawar bernilai RM725 pada 4 April 2019 serta makanan ikan artemia international kadar penetasan 80 peratus berat 425 gram kepada penternak ikan hiasan di Kota Bharu bernilai RM500, 16 April 2019.

Kesemua pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama yang membawa hukuman tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nor Hamizah Ghazali memohon tertuduh dijamin RM10,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, peguam bela, Cheah Poh Loon yang mewakili tertuduh memohon jaminan sebanyak RM6,000 bagi semua pertuduhan dan tertuduh akan hadir melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh dijamin RM6,000 dan menetapkan 7 Julai depan untuk sebutan semula kes.

Sebagai rekod, Malaysiakini sebelum ini melaporkan tertuduh turut didakwa pada 29 Mac lalu dengan tuduhan salah guna meluluskan tender bernilai RM71,694 kira-kira dua tahun lalu.