Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Annuar jawab Nga: Darurat bukan ubat untuk Covid-19

Darurat bukan ubat Covid-19 - begitu hujah Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa bagi menjawab kritikan mengenai kaedah dilakukan kerajaan mengekang penularan wabak tersebut.

Membalas ciapan awal Nga Kor Ming, Annuar berkata ahli parlimen Teluk Intan itu sepatutnya boleh memahami keadaan tersebut dengan lebih baik.

“YB, darurat bukan ubat Covid-19, YB.

“Saya percaya kefahaman YB boleh ditingkatkan lagi ke tahap yang lebih tinggi,” ciap Annuar sambil menyindir.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata demikian di Twitter pagi tadi.

Sebelum itu Nga menyatakan rasa kecewanya dengan peningkatan mendadak kes baru harian Covid-19 sejak akhir-akhir ini.

Melalui ciapannya Nga berkata: "Mr PM, enough is enough (En PM, sudahlah). #KerajaanGagal" bersama data mengenai perbandingan rekod kes baru harian sebelum darurat diisytiharkan, serta selepas ia dilaksanakan.

Untuk rekod pada 11 Jan iaitu tarikh darurat mula berkuat kuasa, kes baru yang dikesan ialah sebanyak 2,322 kes berbanding lebih 6,000 kes mutakhir ini.

Putrajaya sebelum ini berkata darurat adalah langkah perlu untuk membolehkan wabak Covid-19 dibendung. Ketika ia tidak begitu dipertikaikan, pengkritik pula berpendapat darurat sepatutnya bukan penghalang parlimen bersidang untuk membincangkan situasa semasa.

Pengkritik mendakwa kerajaan Perikatan Nasional sengaja menggunakan alasan darurat untuk mengekalkan kuasa yang mereka ada ekoran kejatuhan Pakatan Harapan pada akhir Feb tahun lalu.

Sejak pelaksanaan darurat pada 11 Jan, seramai 1,594 orang meninggal dunia akibat Covid-19, membawa jumlah keseluruhan korban wabak itu menjadi 2,149 setakat semalam.