Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

IHP Malaysia naik 4.7 peratus, inflasi tertinggi sejak 2018

Indeks harga pengguna (IHP) Malaysia pada bulan April meningkat 4.7 peratus berbanding tempoh yang sama daripada tahun sebelum ini. Ia adalah pertumbuhan terpantas dalam lebih dari empat tahun, mengikut data jabatan perangkaan.

Kenaikan bulan April hanya tersasar sedikit daripada ramalan pengembangan tahunan 4.9 peratus oleh ahli ekonomi dalam tinjauan Reuters dan merupakan yang terpantas sejak Mac 2017, ketika indeks meningkat 5.1 peratus. Pada bulan Mac, indeks meningkat 1.7 peratus.

Menurut Bank Negara Malaysia, inflasi utama dijangka meningkat sementara pada bulan April dan Mei, disebabkan oleh asas yang lebih rendah daripada harga bahan api runcit yang lebih murah pada tahun lalu.

Inflasi pada bulan April sebahagian besarnya didorong oleh kenaikan harga bahan api dengan indeks sektor pengangkutan meningkat 27 peratus berbanding dari tahun sebelumnya, kata jabatan perangkaan dalam satu kenyataan.

Peningkatan harga juga dilihat untuk sektor perumahan dan utiliti, makanan dan minuman bukan alkohol, serta perabot dan penyelenggaraan isi rumah, kata jabatan itu.

- Reuters

Sementara itu, Bernama melaporkan Indeks Harga Pengguna (IHP) meningkat 4.7 peratus tahun ke tahun pada April 2021 -- inflasi tertinggi sejak 2018, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata trend itu dijangka berterusan hingga suku pertama 2022.

“Peningkatan IHP keseluruhan ini adalah didorong oleh kenaikan indeks Pengangkutan (27 peratus) yang disebabkan oleh kesan asas rendah pada tahun sebelumnya.

“Seperti yang sedia maklum, purata harga Petrol Tanpa Plumbum RON95 menunjukkan peningkatan pada April 2021 iaitu RM2.05 per liter berbanding RM1.27 pada April 2020, Petrol Tanpa Plumbum RON97 meningkat kepada RM2.55 per liter berbanding RM1.57 dan Diesel meningkat kepada RM2.15 per liter daripada RM1.49,” katanya.

Katanya indeks Perumahan, Air, Elektrik, Gas dan Bahan Api Lain meningkat 3.1 peratus pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya berikutan penamatan diskaun elektrik yang diberikan kepada pengguna domestik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) bermula pada April 2020 dan berakhir pada Disember 2020.

Tambahan pula, katanya indeks Makanan dan Minuman Bukan Alkohol meningkat 1.9 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya berikutan kekurangan bekalan, permintaan yang lebih tinggi dan ketidaktentuan cuaca.

“Walaupun indeks keseluruhan meningkat tetapi indeks teras meliputi barangan tidak termasuk item makanan segar dengan harga paling tidak menentu serta barangan dan perkhidmatan harga dikawal meningkat 0.7 peratus pada April 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

“IHP tanpa bahan api meningkat 1.7 peratus pada April 2021 kepada 113.8 berbanding 111.9 pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya. IHP tanpa bahan api adalah meliputi semua barang dan perkhidmatan kecuali Petrol Tanpa Plumbum RON95, Petrol Tanpa Plumbum RON97 dan Diesel.

“Sementara itu, bagi perbandingan bulanan IHP turut meningkat 0.2 peratus berbanding Mac 2021,” katanya.

Beliau berkata enam negeri iaitu Terengganu (6.3 peratus), Kelantan (5.7 peratus), Pahang (5.6 peratus), Kedah dan Perlis (5.1 peratus), Negeri Sembilan (5.0 peratus) dan Johor (4.9 peratus) menunjukkan peningkatan melepasi paras IHP nasional 4.7 peratus pada April 2021 berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Katanya kesemua negeri mencatatkan peningkatan bagi indeks kumpulan Makanan dan Minuman Bukan Alkohol.