Motac: Rombongan ke Genting Highlands patuh SOP gelembung pelancongan
Syarikat pelancongan yang membawa pelancong dari Alor Setar, Kedah ke Genting Highlands, Pahang didapati mematuhi semua garis panduan Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik yang ditetapkan.
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan, sebanyak dua bas terlibat dalam rombongan pada 22 April dan pulang 24 April lepas, yang dianjurkan oleh syarikat pelancongan berdaftar di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu.
“Siasatan awal mendapati syarikat penganjur telah mematuhi semua syarat-syarat yang ditetapkan dalam prosedur operasi standad (SOP) Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik bagi urusan perjalanan itu.
"Bagaimanapun selepas kembali dari Genting Highlands, terdapat penumpang yang mengalami gejala demam dan telah membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan,” menurut kenyataan kementerian itu hari ini.
Pada 7 Mei lepas, pihak KKM telah mengesan 16 individu disahkan positif daripada saringan yang dilakukan ke atas 28 orang daripada kumpulan pelancong itu dan proses pengesanan kontak rapat masih diteruskan oleh Jabatan Kesihatan Alor Setar.
Kenyataan itu turut memaklumkan sumber asal kontak Covid-19 yang berkaitan dengan kes ini masih belum dapat dikenal pasti dan pihak KKM sedang menjalankan siasatan.
Menurut kementerian, KKM serta pihak polis juga telah menghubungi syarikat terbabit untuk siasatan lanjut dan pihak syarikat memberi kerjasama dengan menyerahkan semua dokumen perjalanan, permit, Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan atau Perniagaan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) daripada MOTAC serta lain-lain dokumen yang diperlukan.
Sementara itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri mengingatkan agensi pengendali pelancong serta kenderaan pelancongan agar sentiasa mematuhi SOP aktiviti pelancongan yang ditetapkan bagi menjamin keselamatan pelancong.
Katanya ia bagi memastikan supaya aktiviti pelancongan yang dilaksanakan mendapat perlindungan yang maksimum agar keselamatan pelancong serta pengusaha industri pelancongan itu sendiri dapat dipelihara.
Kementerian itu turut berharap insiden tersebut tidak akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap tahap keselamatan dalam sebarang aktiviti pelancongan yang dapat beroperasi kelak setelah kebenaran diberikan oleh pihak kerajaan berdasarkan situasi semasa pandemik Covid-19 dalam negara.
Pada 7 Mei lepas, KKM mengesan kluster baharu melibatkan kluster komuniti di Kota Setar dengan 16 kes positif Covid-19.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai