Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Johor adakan mesyuarat semua wakil rakyat minggu depan

Kerajaan Johor akan mengadakan mesyuarat bersama anggota Parlimen dan anggota dewan undangan negeri (Adun) pada minggu depan susulan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berhubung penularan wabak Covid-19 di negeri itu.

Menteri besarnya, Hasni Mohammad berkata, dia menjunjung kasih atas keprihatinan tuanku Sultan yang menitahkan semua anggota Parlimen dan Adun Johor mengadakan perbincangan demi kebajikan rakyat.

"Perbincangan ini akan lebih memperkukuhkan dan menambahbaik segala usaha yang telah dan akan diambil kerajaan negeri dan persekutuan untuk membendung pandemik Covid-19.

"Ini termasuk bagi meningkatkan kapasiti pusat rawatan dan kuarantin Covid-19 berisiko rendah (PKRC) sedia ada dan pusat pemberian vaksin," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Terdahulu Sultan Ibrahim bertitah agar semua anggota Parlimen dan Adun negeri itu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19 dan kesannya kepada penduduk negeri itu.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

Menurut baginda, semua anggota Parlimen dan Adun Johor perlu berperanan dalam membendung penularan wabak dan membantu mereka yang terkesan. 

Sementara itu Hasni berkata, meski pun Ordinan Darurat sedang berkuat kuasa pihaknya akan memastikan perbincangan itu berjalan lancar.

"Perbincangan mengenai perkara itu akan diadakan minggu depan dan kerajaan Johor memberi jaminan perkara yang dibincangkan akan diangkat kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelasnya.

Dalam perkembangan sama anggota Parlimen dan Adun pembangkang Johor turut menyuarakan gesaan supaya kerajaan negeri segera bertindak susulan titah Sultan Ibrahim.

"Kerajaan Johor perlu respons segera titah Sultan Johor berkaitan peningkatan kes Covid-19. Panggil segera mesyuarat khas bersama Adun dan Ahli-ahli Parlimen. Bincang strategi dan tambah bajet, usahakan sidang khas Dun Johor segera," kata anggota Parlimen Pulai, Salahuddin Ayub melalui ciapan di Twitter.

Perkembangan itu juga disambut baik Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Ali yang bersetuju dan menjunjung kasih atas titah Sultan Ibrahim.

"Berhubung dengan titah ini, DAP Johor menjunjung perintah dan sangat bersetuju dengan kebijaksanaan yang telah dilontarkan berkaitan dengan satu permesyuaratan mesti diadakan segera khususnya di peringkat negeri Johor, antara ahli parlimen, Adun-Adun untuk membincangkan secara serius apakah perkara dan langkah yang boleh diambil untuk mengatasi wabak Covid-19 yang meningkat di negeri.

Sheikh Umar Ali 

"Di peringkat DAP negeri, kita menyeru supaya akhirnya kita memerlukan sebuah sistem demokrasi yang ditunjangi parlimen dan juga DUN untuk kembali berfungsi seperti biasa untuk memastikan nasib rakyat dapat kita atasi secara bersama dengan dasar-dasar yang lebih baik dan komprehensif bagi memastikan kita dapat menamatkan rantaian jangkitan Covid-19," katanya yang juga Adun Paloh dalam kenyataan media, hari ini.