Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tentera bina ICU lapangan bantu Hospital Kepala Batas

Batalion Kedua Perubatan Kluang turun padang bagi menyediakan kemudahan sokongan klinikal tambahan untuk Hospital Kepala Batas.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah, tentera telah mendirikan unit rawatan rapi (ICU) lapangan atau "ICU Field" bersama dengan unit makmal dan radiologi.

Kemudahan tambahan itu boleh digunakan untuk merawat 27 pesakit Covid-19 yang kritikal, kerana ia akan dilengkapi dengan peralatan sokongan nyawa dan alat bantuan pernafasan.

Pegawai Memerintah Leftenan Kolonel Dr Mohd Zamri Deraman dilapor Bernama sebagai berkata Kementerian Kesihatan akan mengoperasikan kemudahan baru itu dan mereka akan dibantu oleh dua ahli anestesiologi tentera.

 

Ini adalah kemudahan perubatan lapangan ketiga yang ditubuhkan oleh tentera selepas Padang Perdana di Kelantan dan Kapit di Sarawak.

Namun, kemudahan di Pulau Pinang itu akan menjadi kali pertama tentera menubuhkan ICU lapangan untuk kes Covid-19.

Dua belas katil ICU diletakkan di dalam binaan khas sementara 15 katil lagi akan diletakkan di khemah.

Pulau Pinang telah menyaksikan purata 264 kes Covid-19 baru selama 14 hari terakhir.