Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sultan Johor titah MP, Adun negeri bermesyuarat

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar semua anggota Parlimen dan Adun negeri itu mengadakan mesyuarat bagi membincangkan penularan wabak Covid-19 dan kesannya kepada penduduk negeri itu.

Menurut Sultan Ibrahim, semua anggota Parlimen dan Adun Johor perlu berperanan dalam membendung penularan wabak dan membantu mereka yang terkesan.

"Saya sedar akan Ordinan Darurat yang sedang berkuat kuasa menghalang persidangan Parlimen dan DUN untuk dijalankan ketika ini. Namun saya rasa khidmat Ahli Parlimen dan Adun di Johor perlu digembleng untuk terus membantu rakyat yang terkesan akibat penularan wabak ini.

"Oleh yang demikian, saya menyeru agar satu perbincangan secara pemesyuaratan diadakan di kalangan semua ahli Parlimen dan Adun di Johor dengan dipengerusikan oleh menteri besar.

"Melalui perbincangan ini, semua ahli Parlimen dan Adun boleh memberikan buah fikiran dan pandangan masing-masing dalam membendung penularan wabak Covid-19 dan menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Bangsa Johor," titahnya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah kes Covid-19 di Johor secara umumnya dalam keadaan terkawal antara Mac dan April, selepas mencecah angka tertinggi pada Januari.

Bagaimanapun, bulan ini menyaksikan peningkatan kes baru di negeri itu. Semalam, sebanyak 699 kes baru dilaporkan di sana.

Pada Mac lalu, wakil Pulau Pinang juga mengadakan sesi perbincangan yang dipengerusikan Menteri Besar Chow Kon Yeow. Ia turut dihadiri wakil rakyat daripada BN tetapi tidak disertai wakil rakyat Perikatan Nasional.

Pada masa ini, proklamasi darurat dan perintah kawalan pergerakan telah membenarkan kebanyakan kegiatan ekonomi untuk beroperasi. Bagaimanapun sidang Parlimen dan DUN masih digantung.