Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Persatuan pekilang gesa SOP ketat, bukan sekatan penuh

Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) menggesa kerajaan untuk menerapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dan bukannya sekatan penuh.

FMM berkata sekatan penuh di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP), sama ada di seluruh negara atau di negeri seperti Selangor, boleh menyebabkan kesan buruk ekonomi yang tidak dapat dipulihkan.

"Kesan PKP 1.0, yang merupakan hampir sekatan penuh di mana hanya perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus, sangat memberi kesan parah pada ekonomi, yang mengakibatkan penurunan 17.1 peratus KDNK pada suku kedua 2020 dan kehilangan pekerjaan mencecah 826,100 pada Mei 2020.

"Kerajaan harus menyalurkan berbagai bantuan kewangan untuk membantu industri dan juga individu bagi mengatasi situasi pandemik, yang jika tanpa bantuan itu banyak perniagaan yang harus hentikan operasi mereka," kata presiden FMM Soh Thian Lai.

Justery, Soh menggesa kerajaan mengikuti model kedua PKP, yang memungkinkan sektor ekonomi beroperasi, tetapi dengan SOP yang lebih ketat.

Ini termasuk sekatan pergerakan yang lebih ketat dan menyarankan orang ramai untuk tinggal di rumah, menjadualkan semula sif kerja di kilang agar lebih sedikit orang yang bekerja pada satu masa, dan bekerja dari rumah untuk syarikat yang mampu melaksanakannya.

Susulan situasi Covid-19 yang semakin buruk, timbul spekulasi kemungkinan kerajaan memperkenalkan semula sekatan penuh.

Semalam, Malaysia mencatat rekod tertinggi bagi angka jangkitan baru dan jumlah kematian sejak seminggu lalu telah mencapai tahap yang belum pernah terjadi sebelumnya.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengatakan PKP penuh mungkin diperlukan untuk Selangor, mengambil kira negeri itu menjadi penyumbang utama kes baru harian.

Bagaimanapun, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengatakan bahawa membendung Covid-19 tidak seharusnya mengorbankan ekonomi.

FMM mengatakan selain memastikan perniagaan terus beroperasi, kerajaan juga harus terus memberikan bantuan kewangan seperti moratorium pinjaman dan subsidi upah untuk membantu industri yang terjejas.

Ia mengatakan bahawa proses vaksinasi juga harus dipercepat agar negara dapat mencapai imuniti kelompok.

FMM bukan satu-satunya kumpulan yang menentang PKP penuh.

Semalam, Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia (Amcham) mengatakan penutupan yang serupa dengan MCO 1.0 akan memberi kesan negatif terhadap sentimen pelaburan dan mengancam momentum positif lintasan negara ke arah pemulihan ekonomi pada suku semasa.

"Pendekatan seperti itu tidak mengambil kira pembelajaran dan infrastruktur yang dilaksanakan sejak tahun lalu dan akan memberi kesan negatif langsung terhadap ekonomi tempatan yang sememangnya sudah parah.

"Ini juga akan memberi kesan yang panjang dan jauh bagi perniagaan yang kini berada di negara ini dan peranan mereka dalam rantaian bekalan global," kata ketua eksekutif Amcham Siobhan Das.

Dewan Perdagangan dan Industri EU-Malaysia (Eurocham) juga menyuarakan kebimbangan yang serupa.