Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Mahkamah tolak saman pelucutan wang RM114 juta didakwa berkait 1MDB

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak saman pelucutan yang mensasarkan wang RM114 juta yang didakwa mempunyai kaitan dengan 1MDB selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang itu mungkin telah dicuci dari dana negara.

Dana tersebut adalah sebahagian daripada wang tunai, perhiasan dan aset lain berjumlah RM680 juta yang dirampas dari unit kondominium di Pavilion Residences, Kuala Lumpur, yang dimiliki oleh Obyu Holdings Sdn Bhd, pada tahun 2018.

Obyu adalah satu-satunya responden dalam saman pelucutan berkaitan 1MDB. Bagaimanapun, Umno dan bekas presidennya, Najib Abdul Razak adalah pihak ketiga yang menuntut pemulangan wang berjumlah RM114 juta, yang kini dalam tahanan Bank Negara.

Prosing mahkamah hari ini hanya berkaitan dengan wang RM114 juta itu dan bukan baki keseluruhan RM680 juta aset yang dirampas, yang masih menunggu perbicaraan selanjutnya pada masa akan datang.

Hakim Muhammad Jamil Hussin tidak membuat perintah berbangkit (consequential order) dalam keputusan lisannya sama ada RM114 juta itu harus dikembalikan atau tidak.

Jamil memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal untuk membuktikan bahawa RM114 juta itu adalah sebahagian daripada pengubahan wang haram dari 1MDB atau berkaitan dengan aktiviti haram.

Hakim mengatakan bahawa pemohon (pendakwaan) gagal menunjukkan bahawa wang itu berkaitan dengan sebarang kesalahan pecah amanah (CBT) atau penerimaan harta curi.

Jamil juga menyatakan bahawa afidavit pegawai penyiasat 1MDB ACP R Rajagopal gagal menunjukkan bahawa wang itu adalah hasil pencurian, CBT atau hasil kegiatan haram.

"Oleh kerana kesalahan predikat (seperti CBT) tidak dipenuhi (terbukti), persoalan hasil dari kegiatan haram tidak timbul.

"Oleh itu, tidak dapat dikatakan bahawa wang tunai yang dirampas (RM114 juta) adalah hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, dan pemohon gagal menunjukkan bahawa itu adalah hasil dari kesalahan predikat," kata Jamil.

Hakim juga menyatakan bahawa pemohon tidak berjaya membuktikan bahawa wang yang dirampas dari Pavilion Residences ada kaitan dengan kesalahan predikat yang didakwa telah dilakukan berkaitan dengan 1MDB.

Namun, kedua-dua pihak pendakwaan dan pasukan undang-undang yang bertindak untuk Umno dan Najib meminta penjelasan dari mahkamah mengenai apakah keputusan itu memerlukan wang RM114 juta dikembalikan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi bertanya apa kesan keputusan itu kerana wang tunai itu kini ditahan di Bank Negara.

Saifuddin mengatakan penjelasan diperlukan kerana pihak pendakwaan meminta penangguhan keputusan, sementara menunggu keputusan mereka di Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, menyarankan agar wang itu dikembalikan kepada Najib sementara pihak pendakwaan membuat rayuan di Mahkamah Rayuan.

Shafee mengemukakan bahawa ketika saman pelucutan itu ditolak dan sudah lebih dari 12 bulan berlalu sejak penyitaan wang tunai, undang-undang antipengubahan wang memerlukan wang itu dikembalikan.

Namun, Jamil menjawab bahawa dia tidak dapat membuat perintah berbangkit mengenai apa yang harus dilakukan dengan wang itu, kerana keputusannya hanya berkaitan dengan usaha pihak pendakwaan berhubung kehilangan RM114 juta.

"Keputusan saya adalah untuk tidak membenarkan (saman pelucutan melebihi RM114 juta). Saya tidak dapat membuat perintah berbangkit agar wang itu dikembalikan,” kata hakim.

[Baca berita penuh]