PKP penuh: PM, menteri digesa buat sidang media bersama elak pusingan U
Perdana Menteri Muhyiddin Yassin perlu membuat sidang media bersama menteri-menteri utama jika kerajaan memang berhasrat menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang lebih ketat, kata Ahli Parlimen Bangi Ong Kian Ming.
Ong berkata, ia perlu diadakan bagi mengelakkan apa yang disifatkannya sebagai kecelaruan dalam kawalan pergerakan sebelum ini, yang membawa kepada beberapa pusingan-U.
"Elakkan keadaan sebelum ini di mana sidang media dibuat secara berseorangan dan kemudian perlu disusuli dengan pusingan-U, kerana seorang menteri tidak berkomunikasi dengan menteri yang lain.
"Menteri-menteri utama perlu buat sidang media bersama untuk meyakinkan rakyat bahawa pentadbiran Perikatan Nasional (PN) ini mampu membawa kita keluar daripada wabak Covid-19," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain Muhyiddin, Ong berkata sidang media itu perlu disertai Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Mutakhir ini, spekulasi bahawa kerajaan mungkin melaksanakan PKP lebih ketat susulan penularan wabak yang kian memburuk semakin diperkatakan.
Semalam, Malaysia mencatat rekod baru kes harian tertinggi manakala jumlah kematian sepanjang seminggu ini juga meningkat dengan tinggi.
Adham juga berkata PKP sepenuhnya juga mungkin perlu dilaksanakan di Selangor, memandangkan jumlah kes yang tinggi di negeri itu.
Berlaku beberapa kekeliruan dalam pelaksanaan PKP 3.0 yang dikuatkuasakan dua minggu lalu, termasuk perubahan SOP berhubung kegiatan riadah di luar.
Begitu juga dengan perubahan mendadak berkaitan sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (Hide), di mana premis yang tersenarai diarah tutup selama tiga hari.
Sebelum itu, premis yang termasuk dalam senarai itu hanya diarahkan untuk meningkatkan kewaspadaan.
Ia menyebabkan banyak perniagaan, termasuk beberapa pusat beli belah, tutup buat sementara.
Selain mengelak perubahan keputusan, Ong berkata sidang media itu juga untuk memberi peluang kepada wartawan bertanya sebarang soalan dan mendapat jawapan terus daripada kerajaan.
Antara soalan yang dicadangknya adalah berkenaan rancangan untuk pengesana dan ujian massa ketika penguatkuasaan, keadah mengawal penularan di kilang dan penjara, dan bantuan kewangan kepada golongan yang bakal terjejas.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai