Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Peguam Najib gagal asak saksi berkaitan tandatangan pada pemindahan bank

Pasukan pembelaan Najib Razak hari ini cuba menggasak bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Mohd Hazem Abdul Rahman berkaitan kesahihan tandatangan pada dokumen bank melibatkan pemindahan wang berjuta-juta ringgit.

Namun, pihak pendakwaan dalam perbicaraan rasuah terhadap Najib hari ini membantah pertanyaan itu kerana saksi pendakwaan ke-10 itu bukan pakar tulisan tangan.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah kemudian memaklumkan kepada pasukan pembelaan Najib bahawa mereka boleh membangkitkan perkara itu semasa hujahan lisan di penghujung peringkat pendakwaan.

Peguam bela tertuduh Wan Aizuddin Wan Mohammed hari ini cuba meminta Hazem membandingkan keluk, bentuk dan ukuran tandatangan pada arahan pemindahan yang melibatkan berjuta-juta ringgit dari 1MDB Global Investments Limited (1MDB-GIL) kepada beberapa entiti lain.

Persoalan yang dibangkitkan adalah mengenai tandatangan Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB Azmi Tahir dan pengarah eksekutif kewangan dana kekayaan berdaulat itu, Terence Geh.

Ketika pernyataan pembukaan pendakwaan dalam kes RM2.28 bilion Najib pada tahun 2019, dikatakan bahawa pemindahan wang keluar dari 1MDB-GIL adalah sebahagian daripada sandiwara yang dirancang untuk membolehkan Najib memperoleh rasuah, yang merangkumi empat fasa selama beberapa tahun.

Antaranya ialah dakwaan aliran keluar dana berjuta-juta ringgit dari 1MDB-GIL kepada dua entiti, antaranya ialah Cystenique Investment Fund dan Devonshire Funds Limited.

Semasa pemeriksaan balas Aizuddin dalam perbicaraan 1MDB hari ini, Hazem memberi keterangan bahawa dia sebagai Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB ketika itu tidak tahu mengenai pemindahan berjuta-juta ringgit yang dikatakan dari 1MDB-GIL kepada kedua-dua entiti itu.

Dokumen bank, yang ditunjukkan kepada Hazem oleh Aizuddin semasa perbicaraan hari ini, dikatakan menunjukkan tandatangan Azmi dan Geh, dua penandatangan yang sah bagi 1MDB-GIL.

Pasukan pembelaan Najib berpendirian bahawa pemindahan wang itu didalangi oleh Low Taek Jho atau Jho Low, tanpa pengetahuan Najib ketika itu.

Aizuddin: Rujuk tandatangan, adakah inni tandatangan Azmi?

Hazem: Itu milik Azmi.

Aizuddin: Adakah ini tandatangan Terence Geh?

Hazem: Ya.

Aizuddin: Jika anda melihat arahan pemindahan, bolehkah anda mengesahkan semua tandatangannya sama, lengkung, bentuk, ukurannya?

Namun pada ketika ini, timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib mengemukakan bantahan terhadap pertanyaan tersebut kerana Hazem bukan pakar tulisan tangan.

Aizuddin kemudian membalas bahawa dia hanya mahu saksi menjawab sama ada dia (Hazem) sudah biasa dengan tandatangan Azmi dan Geh pada arahan pemindahan itu.

Namun, Sequerah setuju dengan bantahan pihak pendakwa bahawa Hazem tidak dapat menjawab pertanyaan mendalam mengenai tandatangan tersebut.

"Dia (Hazem) sudah mengatakan dia sudah biasa (dengan tanda tangan itu) kerana dia sudah biasa melihatnya. Tapi memintanya untuk membandingkan akan meletakkannya pada posisi yang tidak biasa, seperti seorang pakar.

"Cara tanda tangan dibuat, itu di luar keahliannya," kata hakim kepada Hazem, menasihati peguam itu membangkitkan perkara itu lagi ketika hujah lisan menjelang peringkat akhir pendakwaan.

Prosiding akan disambung semula di hadapan Sequerah pagi esok.

Najib menghadapi empat tuduhan salah guna kuasa dan 21 tuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana 1MDB sebanyak RM2.28 bilion.

Selain merupakan bekas perdana menteri, tertuduh juga pernah menjadi menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan Diperbadankan (MoF Inc).