Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NPRA teliti pendaftaran vaksin untuk pasaran swasta - Khairy

Pihak berkuasa kesihatan menerima permohonan daripada beberapa syarikat untuk mendaftarkan vaksin Covid-19 mereka bagi digunakan di Malaysia, kata Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, vaksin berkenaan tidak akan digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, sebaliknya akan memasuki pasaran swasta.

Menurut Khairy, yang merupakan menteri penyelaras program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, vaksin berkenaan termasuk yang dihasilkan syarikat farmasi Moderna Inc. yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

"Pada masa ini ada syarikat lain yang telah menyerahkan (permohonan mereka) kepada NPRA (Bahagian Regulatori Farmasi Negara) untuk persetujuan NPRA.

"Oleh itu, sebilangan vaksin ini, jika kemudiannya dipersetujui oleh NPRA, dan ada pembelian sektor swasta, maka mereka boleh meneruskannya," katanya semasa sidang media dalam talian petang ini.

Khairy tidak menyatakan berapa banyak syarikat yang berminat mendaftar vaksin mereka di Malaysia, tetapi menyebut nama Moderna dan Sputnik V dari Rusia.

Mengenai Moderna, dia berkata kerajaan akan membenarkannya masuk ke pasaran swasta kerana vaksinnya yang sangat mahal.

"Mengenai Sputnik, ia masih 'pi mai tang' tu. Saya rasa NPRA masih belum sepenuhnya berpuas hati dengan  data yang telah diberikan oleh Duopharma, yang merupakan pemegang pendaftaran produk tempatan," katanya.

Untuk rekod, NPRA setakat ini telah meluluskan vaksin yang dihasilkan tiga syarikat, iaitu Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.

Ketiga-tiga vaksin tersebut digunakan dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, yang bermula pada Februari lalu dan bertujuan untuk memberi suntikan kepada sekurang-kurangnya 80 peratus populasi dewasa di Malaysia.