Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Umno yakin PBS akan kekal dalam GRS

Umno Sabah menolak spekulasi bahawa sekutunya dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS), PBS akan meninggalkan gabungan pemerintah negeri itu untuk bersama parti pembangkang, Warisan.

Pengerusi Umno Sabah, Bung Moktar Radin menganggap spekulasi itu sebagai tidak berasas dan yakin PBS tidak akan mengkhianati mandat yang diberikan pengundi kepada GRS pada PRN tahun lalu.

"Saya sendiri tidak ada maklumat yang tepat berkenaan dakwaan kononnya Warisan dan PBS sedang berpakat untuk membentuk sebuah kerajaan baru

"Apa pun pada saya isu ini tidak ada asasnya, sebab saya tidak nampak PBS boleh mengkhinati kerajaan GRS yang ditubuhkan bersama dalam PRN yang lalu," kata Bung Moktar kepada Malaysiakini Isnin lalu.

Malaysiakini meminta Bung Moktar, yang juga timbalan ketua menteri Sabah, untuk mengulas spekulasi bahawa PBS sedang merancang untuk keluar dari GRS bagi membentuk pakatan baru dengan Warisan, yang memimpin kerajaan negeri sebelumnya.

Polemik mengenai penarikan diri PBS ini dilihat selepas kenyataan yang dikeluarkan parti itu dan Warisan baru-baru ini.

Pada 11 Mei lalu, Presiden Warisan Mohd Shafie Apdal berkata pihaknya ingin bekerjasama dengan PBS sekiranya diberi peluang.

Sehari kemudian, Presiden PBS Maximus Ongkili pula berkata pihaknya terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana parti tempatan, termasuk di pihak pembangkang.

Ketika ditanya jika ada keretakan dalam GRS terutama antara PBS dan Parti Solidariti Tanah Airku (Star), yang telah diketahui berseteru sebelum GRS dibentuk, Bung tidak menafikan bahawa memang ada isu seumpama itu dalam gabungan tersebut.

Namun, katanya lagi, masalah yang timbul tidak serius sehingga boleh membawa kepada perpecahan.

"Saya rasa semua parti dalam GRS ada ahli-ahlinya yang memang tidak berpuas hati.

"Namun ketidakpuasan hati tersebut tidak terbawa-bawa sehingga memecah-belahkan kerajaan GRS," katanya lagi.

GRS dibentuk tahun lalu ketika PRN, sebagai usaha menewaskan kerajaan Warisan yang dibentuk selepas PRU14.

Gabungan itu menyaksikan parti komponen BN dan Perikatan Nasional (PN) bersetuju untuk bekerjasama bagi menghadapi Warisan dalam PRN tersebut.

Sementara itu, sumber yang dekat dengan pucuk pimpinan Warisan juga menolak dakwaan ada [erancangan untuk membentuk pakatan dengan PBS.

"Tidak ada rancangan seperti itu. Warisan hanya mahu fokus pada pilihan raya akan datang," katanya.