Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Malaysia gesa PBB kaji penempatan pasukan bersenjata bagi lindungi Palestin

Malaysia menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) mengkaji semula cadangan penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin

Menteri Luar Hishammuddin Hussein, berkata ia merupakan antara tiga gesaan kerajaan Malaysia kepada Majlis Keselamatan PBB.

"Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak segera dan memikul tugasnya yang termaktub di bawah Piagam PBB. Majlis Keselamatan PBB hendaklah tegas dan bersatu suara serta bertindak pantas terhadap siri serangan oleh regim Israel;

"Dan paling penting, Majlis Keselamatan PBB perlu mengkaji semula cadangan mengenai penempatan pasukan bersenjata PBB atau pemerhati tidak bersenjata bagi meningkatkan perlindungan ke atas rakyat Palestin," katanya dalam kenyataan.

Katanya, Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB yang telah tiga kali bersidang namun gagal mengeluarkan kenyataan mengenai situasi semasa di Palestin.

"Dalam minggu ini sahaja, sudah tiga kali Majlis Keselamatan PPB bersidang, tetapi malangnya satu kenyataan belum dikeluarkan mengenai situasi semasa di Palestin.

"Malaysia kecewa dengan Majlis Keselamatan PBB yang gagal untuk mengutuk tindakan Israel serta menggesa keganasan ke atas rakyat Palestin dihentikan.

"Selain tiga gesaan ini, Malaysia, selaras dengan kenyataan bersama negara Brunei dan Indonesia mendesak Perhimpunan Agung PBB untuk segera mengadakan sesi khas bagi menghentikan kekejaman dan penjajahan Israel di Palestin," katanya lagi.

Malaysia sebelum ini mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel terhadap Gaza sejak seminggu lalu yang mengorbankan ratusan nyawa rakyat Palestin dan memusnahkan bangunan kediaman.

PBB menganggarkan kira-kira 10,000 rakyat Palestin terpaksa meninggalkan kediaman mereka di Gaza angkara keganasan Israel.