Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Adun PAS Kelantan sumbang sebulan elaun buat Palestin

Barisan anggota dewan undangan negeri (Adun) PAS Kelantan bersetuju membuat potongan sebulan elaun bagi disumbangkan kepada tabung bantuan untuk Palestin.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Hassan Mahamood berkata, ia membabitkan 24 orang wakil rakyat PAS di negeri itu dengan nilai RM7,000 seorang sekali gus mengumpulkan dana keseluruhan RM168,000.

"Setiap Adun bersetuju membuat potongan sebulan elaun bertujuan untuk membantu rakyat Palestin.

"Sumbangan ini dibuat melalui dua fasa iaitu yang pertama kita pungut daripada semua wakil rakyat PAS dalam mesyuarat hari ini berjumlah RM100,000 yang akan diserah kepada menteri besar Kelantan sebelum 19 Mei ini.

"Bagi fasa kedua, kita akan buat potongan terus daripada elaun Adun masing-masing sebanyak RM7,000," katanya pada sidang media di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu, Kelantan hari ini.

Sumbangan berkenaan akan disalurkan ke Tabung Serambi Mekah yang dikendalikan kerajaan negeri Kelantan.

Hassan yang juga Adun Tawang berkata, keputusan itu diambil sebagai solidariti Kelantan untuk sama-sama membantu rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan peperangan.

"Sebagaimana yang kita maklum, Palestin dihujani dengan darah dan atas dasar kemanusiaan serta saudara Islam, kita memberi sumbangan.

"Kita minta orang Islam yang mana-mana rasa simpati dengan saudara kita di Palestin supaya semuanya dapat memberi sumbangan," katanya.

Pihaknya turut menyeru orang ramai memberikan sumbangan masing-masing dengan menyalurkan sumbangan ke Akaun Bank Islam Tabung Serambi Mekah, 03018010080024.