Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pusingan kedua untuk vaksin AstraZeneca dibuka, keutamaan pada warga emas

Kerajaan akan sekali lagi membuka pendaftaran imunisasi secara sukarela bagi vaksin AstraZeneca, kali ini dengan keutamaan terhadap warga emas, kata Khairy Jamaluddin.

Menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu berkata, pendaftaran untuk mereka berusia 60 tahun ke atas akan dibuka pada 23 hingga 26 Mei ini.

Golongan lain pula boleh mendaftar selepas tempoh itu jika masih terdapat kekosongan, katanya lagi.

Kali ini, pemberian vaksin itu akan diperluaskan dengan melibatkan tiga negeri, iaitu Johor, Sarawak dan Pulau Pinang, selain Lembah Klang.

Ia selepas mengambil kira status ketiga-tiga negeri itu yang merupakan zon merah Covid-19.

"Susulan sambutan menggalakkan untuk vaksin AstraZeneca yang dibuka pada 12 Mei lepas, kerajaan putuskan untuk membuka semula (pendaftaran). (Mereka yang berminat) boleh buat tempahan untuk slot mereka.

"Namunm atas keprihatinan bahawa kumpulan berisiko tinggi perlu dilindungi, bagi pusingan kedua ini, warga emas berusia 60 tahun ke atas akan diberi keutamaan untuk akses awal bagi mendaftar.

"Ini adalah usaha untuk memberi perlindungan kepada mereka dan percepatkan fasa kedua (vaksinasi)," katanya ketika sidang media yang dibuat secara dalam talian hari ini.

Pusingan kedua ini akan melibatkan sejumlah 1.1 juta dos vaksin tersebut.

Akhir bulan lalu, kerajaan memutuskan vaksin AstraZeneca hanya akan digunakan untuk mereka yang sukarela mengambilnya, selepas ada pihak menyuarakan kebimbangan akan risiko kesan sampingan walau data menunjukkan ia selamat.

Pusingan pertama melibatkan 268,600 dos vaksin tersebut. Pendaftaran dibuka kepada penduduk di Kuala Lumpur dan Selangor, memandangkan jumlah kes yang tinggi di situ.

Khairy berkata lagi, selain secara dalam talian, pendaftaran untuk AstraZeneca akan turut dibuat menerusi program mendekati komuniti di peringkat pejabat kesihatan daerah.

Ini bermakna kuota tertentu akan diperuntukkan untuk pendaftaran biasa bagi memudahkan kalangan warga emas berbuat demikian.

Baki slot pula akan diutamakan kepada mereka yang sudah dalam senarai menunggu setelah tidak mendapat tempat pada pusingan sebelum ini, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid19 (JKJAV).