Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Hanya vaksin Pfizer untuk ibu hamil, menyusu - KJ

Hanya vaksin Pfizer-BioNTech (Pfizer) yang disarankan untuk ibu hamil dan sedang menyusukan, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

Bercakap kepada pemberita hari ini, menteri yang bertanggungjawab untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) itu berkata, panduan itu berdasarkan cadangan yang dibuat oleh pakar.

"Berdasarkan pengesyoran pakar, bagi ibu mengandung dan menyusukan, hanya Pfizer sahaja.

"Bagi ibu mengandung mereka disyor mengambil vaksin (ketika kehamilan) antara 14 hingga 33 minggu. Jika lebih daripada itu, mereka disaran tangguh pengambilan vaksin selepas melahirkan.

"Ibu yang sedang menyusukan sesuai untuk diberi vaksinasi," katanya pada sidang media maya yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 petang ini.

Khairy mengatakan bahawa mereka telah meminta Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 untuk menyelaraskan dengan kemudahan kesihatan agar ibu hamil diberi keutamaan untuk pemberian vaksin.

Menurut Khairy mereka meminta Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 untuk membuat penyelarasan dengan hospital dan klinik bersalin agar wanita hakim serta ibu yang menyusukan bayi masing-masing diberi keutamaan untuk diberikan vaksin Pfizer

Ahli parlimen Rembau itu juga memberitahu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Chong Chee Keong diugaskan untuk menyelaraskan perkara itu, termasuk memastikan vaksin Pfizer dapat dibekalkan kepada kumpulan terbabit.

Sementara itu ditanya mengenai status wanita hamil atau ibu yang sudah mengambil vaksin lain sebelum ini dan nasihat - jika ada - untuk mereka, Khairy berkata data mengenai keselamatan Sinovac dan AstraZeneca adalah terhad.

Katanya sebarang syor hanya akan diberi selepas proses konsultasi dibuat.

"Orang ramai yang ada pertanyaan atau sebarang keraguan, tolong dapatkan konsultasi daripada doktor anda. Ini adalah garis panduan yang ada sekarang," katanya.

[Baca berita asal]