Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli perniagaan mahu bayar denda isteri ziarah suami bertugas di SJR

Simpati dengan nasib yang menimpa seorang isteri yang didenda gara-gara menziarahi suaminya yang bertugas di sekatan jalan raya (SJR) pada Hari Raya pertama, seorang ahli perniagaan, Sunny Ung menyatakan hasrat untuk membantu keluarga tersebut.

Katanya, kehadiran wanita bersama anak-anak ke lokasi suaminya - yang merupakan anggota polis - merupakan satu pengorbanan.

"Saya terkilan dan kasihan terhadap nasib mereka, ia memang satu kesalahan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) dan saya tidak membantah apa yang pihak kerajaan lakukan.

"Tetapi budi bicara adalah perlu kerana isteri dan anaknya membawa juadah raya dan ingin beraya dengan ayah.

Mereka juga menjalankan tanggungjawab sebagai isteri dan anak untuk bersalaman dan memberi juadah raya walaupun dia tersebut terpaksa berkorban dan bertugas di hari raya," katanya ketika menghubungi Malaysiakini, hari ini.

Sehubungan itu Ung berkata, pihaknya berbesar hati untuk membayar kompaun berjumlah RM2,000 yang dikenakan.

"Sumbangan saya ini diharap dapat meringankan beban keluarga petugas barisan hadapan ini. Kami akan berhubung dengan keluarga tersebut bagi menyatakan hasrat ini dan membantu mereka," katanya.

Terdahulu, polis Putrajaya memaklumkan wanita tersebut dikenakan kompaun RM2,000 atas kesalahan melanggar SOP perintah kawalan pergerakan (PKP) kerana menziarahi suaminya yang bertugas di SJR di Putrajaya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Mohd Fadzil Ali berkata kompaun itu dikeluarkan pada 15 Mei lalu di bawah Peraturan 17 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.