Nik Abduh: Sedekah dan diam, itulah juara kenyamanan
Ahli Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz hari ini sekali lagi bersuara mengenai isu derma dan keikhlasan hati penyumbangnya.
Kata Nik Abduh amalan bersedekah bukanlah urusan berjual beli sesama manusia sebaliknya dengan Allah.
"Rasakan Allah sedang menerima daripada anda serasanya. Sedekah dan diam. Diam itu juara kesejukan dan kenyamanan," katanya dengan bahasa berbunga.
Dia yang juga ahli parlimen Bachok menambah seseorang tidak wajar bersedekah kecuali menyerahkannya kepada orang atau tabung yang dipercayai.
“Jika tidak, anda memanaskan diri sendiri dan mendorong anda bising pada perkara 'al mann (mengungkit-ungkit) dan al aza' (mengejek) yang terlarang," katanya di media sosial.
Kenyataan Nik Abduh itu dibuat sehari selepas dia menjadi sasaran kecaman banyak pihak gara-gara mencadangkan agar penderma kepada tabung Palestin tidak “bertanya hal yang sukar” sama ada sumbangan mereka sampai ke pihak yang ditujukan ataupun tidak.
Semalam dalam hantaran di Facebook Nik Abduh berkata perkara paling utama semasa memberi derma ialah keikhlasan seseorang.
Menurut Nik Abduh hari ini seseorang yang mahu memberi sumbangan perlu mengintegritikan diri dan akhlak mereka terlebih dahulu.
"Jangan susahkan laluan sedekah dengan menyebarkan kebisingan, kekeliruan dan saling mengesyaki yang tidak dituntut agama,” katanya.
Bekas ketua Pemuda PAS itu juga menekankan kelebihan amalan bersedekah yang menyejukkan jiwa serta memadamkan kemurkaan Allah.
Untuk rekod sebagai reaksi kepada pertempuran di antara pejuang Palestin dan tentera Zionis Israel di Gaza serta Tebing Barat, PAS bekerjasama dengan kira-kira 40 NGO melancarkan tabung #Aid4Palestine.
Melalui kempen berkenaan mereka meletakkan sasaran RM1 juta untuk Palestin.
Sekretariat itu diketuai anak Presiden PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi, dan akan menjalankan kempen kesedaran dan menyeleraskan kutipan melalui kaedah pendanaan awam (crowfunding).
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai