Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

ATM pastikan ancaman rangkaian komunikasi pertahanan ditangani

Aspek keselamatan dan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dipantau bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat ditangani, kata Jen Affendi Buang.

Menurut Panglima ATM itu tindakan serta langkah sewajarnya dilaksanakan oleh pentadbir sistem siber sebagai langkah menangani apa juga kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir-anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber ATM serta Kementerian Pertahanan.

“Ditegaskan bahawa ATM sentiasa memantau dan mempertingkat aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC).

“BSEP dan CDOC bukan sahaja memperkukuh rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Affendi berkata arahan dan langkah yang dikeluarkan CDOC yang tular menerusi media sosial sebelum ini merupakan arahan amalan biasa untuk peringatan.

Semalam tular di media sosial mengenai arahan dalaman ATM menyatakan pasukan keselamatan itu perlu meningkatkan pertahanan siber negara ekoran ancaman siber dari Israel.

- Bernama