Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jais kesan pelanggaran SOP di beberapa surau, masjid

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mendapati beberapa masjid dan surau di negeri ini melakukan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya ia masih berlaku.

Pengarahnya Mohd Shahzihan Ahmad berkata ia termasuk bilangan jemaah yang melebihi had dibenarkan, individu tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga penjarakan fizikal sepanjang berada di masjid dan surau.

“JAIS mengambil sikap memberi nasihat dan teguran secara baik pada peringkat ini. Bagaimanapun, tindakan yang tegas akan dilakukan sekiranya pelanggaran SOP masih berlaku pada siri pemantauan berikutnya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau turut mengingatkan umat Islam di Selangor supaya tidak membuat perbandingan terhadap langkah diambil JAIS dengan negeri-negeri lain kerana situasi dan latar belakang penularan adalah berbeza bagi setiap negeri.

Katanya JAIS berharap umat Islam dapat menghadapi situasi semasa dengan bermuhasabah dan merenung kembali peranan masing-masing sebagai jemaah masjid dan surau.

Bernama