Polis siasat adun PKR didakwa buat kunjungan Aidilfitri
Polis menyiasat Adun Bukit Batu daripada PKR, Jimmy Puah atas dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP) ketika Hari Raya Aidilfitri beberapa hari lalu.
Ia selepas gambarnya berkunjung dan makan di rumah sebuah keluarga tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Seri Alam Mohd Sohaimi Ishak berkata Puah akan disiasat di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan atas kesalahan kecuaian yang boleh menyebabkan penyakit, serta Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021.
Mohd Sohaimi berkata, polis menerima laporan berkenaan perkara itu daripada seorang individu semalam, yang menemui gambar yang dimuat naik di Facebook menunjukkan Puah di sebuah rumah di Ulu Tiram, Johor pada hari raya pertama.
"Polis sedang mengesan pemilik akaun Facebook berkenaan bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan.
Jika sabit kesalahan, Seksyen 269 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.
Peraturan 17 Akta Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021 pula membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda tidak lebih RM50,000.
Dalam respons segeranya, Puah berkata kehadirannya di rumah itu hanyalah untuk menyerahkan sumbangan untuk diagihkan.
"Saya ingin tegaskan saya tidak menafikan berada di sebuah rumah di Taman Desa Jaya ketika itu, tetapi tujuan utama saya adalah untuk hantar barang sumbangan kepada wakil Wanita PKR untuk diedarkan kepada golongan ibu tunggal dan asnaf, bukan beraya seperti didakwa.
"Bagaimanapun saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada polis dalam siasatan dan jika hasil siasatan mendapati saya telah langgar SOP, saya rela menerima hukuman dan membayar kompaun sewajarnya," katanya dalam kenyataan.
Walaupun wakil rakyat tidak terikat dengan sekatan perjalanan rentas daerah dan negeri ketika menjalankan tugas, penguatkuasaan PKP 3.0 menghalang kunjungan ke rumah ketika Hari Raya.
Terdahulu, dua exco Terengganu iaitu Dr Azman Ibrahim dan Hanafiah Mat turut dikenakan kompaun kerana melanggar SOP berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai