M'sia kesal, tuntut PBB bertindak tegas pada Israel
Malaysia dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menghentikan serta-merta kekejaman Israel ke atas Palestin yang merupakan satu jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.
Bukan itu sahaja, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan serangan rejim Israel ke atas Palestin merupakan tindakan yang mencabuli undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Piagam PBB.
Namun beliau kesal sehingga kini Majlis Keselamatan PBB belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung situasi terkini di Palestin yang telah mengorbankan 119 rakyat Palestin dan mencederakan ratusan yang lain lantaran bangkangan daripada Amerika Syarikat.
“Walaupun begitu Malaysia akan terus berusaha menyeru komuniti antarabangsa terutamanya Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak segera bagi memaksa Israel menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin,” katanya dalam perutusan khas mengenai isu Palestin yang disiarkan Bernama TV dan stesen penyiaran lain hari ini
Muhyiddin menegaskan sesungguhnya perbuatan keji lagi terkutuk tentera Israel ini, khususnya pengeboman, pembedilan dan pemusnahan harta benda, tanpa sebarang timbang rasa dan belas kasihan mesti dikecam sekeras-kerasnya seluruh dunia.
Muhyiddin berkata pandangan sama dikongsi Presiden Indonesia Joko Widodo melalui perbincangan melalui telefon dengannya hari ini apabila kedua-duanya bersetuju tindakan ganas rejim Israel harus dihentikan serta merta dan komuniti antarabangsa, terutamanya Majlis Keselamatan PBB perlu bertindak segera.
"Dalam hal ini, Malaysia akan menerajui bersama-sama Indonesia dan Brunei untuk mengeluarkan satu kenyataan bersama bagi mengutuk sekeras-kerasnya serangan zalim rejim Israel ke atas Palestin,” katanya.
Selain itu, perdana menteri berkata Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) turut akan mengadakan Mesyuarat Tergempar Terbuka secara maya Jawatankuasa Eksekutif OIC di peringkat Menteri-menteri Luar untuk membincangkan perkembangan terkini di Palestin yang dijangka berlangsung esok.
Dilaporkan pencerobohan dan serangan rejim Zionis Israel kali ini ke atas rakyat Palestin bermula dengan serangan di Masjid Al-Aqsa sejak 7 Mei lepas diikuti serangan udara di Semenanjung Gaza sejak Isnin lepas.
Sejak itu, sehingga kini dilaporkan lebih 119 rakyat Palestin telah terkorban dan beratus-ratus lagi cedera.
Berkongsi rasa hiba Malaysia dengan nasib rakyat Palestin Muhyiddin berkata perkembangan terkini yang sedang berlaku di sana diikuti rapat Malaysia terutama serangan-serangan tidak berperikemanusiaan rejim Israel di Semenanjung Gaza serta kezaliman yang dilakukan keatas rakyat Palestin di Tebing Barat.
“Serangan yang zalim dan sangat keterlaluan ini amat meresahkan umat Islam apatah lagi ia berlaku di bulan suci Ramadan yang mulia dan berlanjutan hingga bulan Syawal, taktala umat Islam di seluruh dunia sedang menyambut Hari Raya Aidilfiri,” katanya.
Perdana menteri turut mengulangi pendirian berprinsip Malaysia yang sentiasa konsisten memberi sokongan padu kepada Palestin dan perjuangan rakyatnya samada dari segi politik, ekonomi, dan moral dan berpendapat penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan.
Beliau berkata Malaysia menyokong penyelesaian yang adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau Two-State Solution berdasarkan garis sempadan sebelum 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel.
Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian yang adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan melibatkan pihak-pihak yang berkaitan, berdasarkan kepada undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi PBB yang berkaitan, katanya.
“Saya percaya, rakyat Malaysia yang cintakan keamanan berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan kukuh bagi penggunaan kekerasan yang dilakukan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas Palestin dan menolak sekeras-kerasnya tindakan keji rejim Israel ke atas rakyat Palestin.
“Demi menunjukkan sokongan tidak berbelah bahagi kita kepada Palestin kita mesti bersepakat menjelaskan kepada seluruh dunia akan pendirian Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel ke atas rakyat Palestin,” katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai