Noraini: Kebetulan Ong hadir, Umno tak arah jemput MP DAP
Kebetulan saja, kata Ketua Wanita Umno Dr Noraini Ahmad menjelaskan kehadiran Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming semasa lawatannya di Sungai Merab, Bangi, Rabu lepas.
Noraini berkata tiada sebarang arahan daripada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang meminta ahli parti menjemput wakil DAP dalam programnya.
Menurut menteri pengajian tinggi itu dia bertemu Ong ketika sedang melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri. Di situ saya terserempak dengan Ong.
“Sebelum beredar, Ong tanya hendak ke mana dan saya jawab hendak pergi ziarah pelajar UKM yang sakit dekat Sungai Merab.
“Kemudian dia kata hendak ikut sebab itu bawah parlimen dia. Itu sahaja.
"Sebab itu saya kata arahan kononnya daripada presiden Umno itu fitnah,” jelasnya, lapor Umno Online.
Rabu lepas, Noraini bersama dengan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Hussaini Omar melawat Azura Omar, seorang pelajar PhD di UKM yang sedang berjuang melawan penyakit kanser.
Terdahulu, dilaporkan tular wujud perbualan WhatsApp yang didakwa daripada kumpulan Majlis Tertinggi Umno. Perbualan itu merujuk tindakan Noraini menjemput pemimpin DAP itu menyertai program lawatannya.
Sementara itu, Ong pada hantaran di Facebooknya mengulas kecaman yang diterima Noraini kerana dia turut serta dalam lawatan menteri itu menziarahi calon siswazah PHD UKM berkenaan.
"Untuk orang Umno/ BN yang maki menteri kerana jemput saya ke UKM dan ke rumah pelajar PHD ini, please give her a break alsolah.
"Lim Guan Eng pernah jemput Ahli Parlimen Kepala Batas Reezal Merican Naina Merican ke acara DAP di Pulau Pinang.
"Khairy Jamaluddin pun sentiasa berdialog dengan ahli parlimen DAP dan juga wakil parti pembangkang yang lain untuk isu kepentingan negara seperti Vaksin Covid-19," katanya.
Ahli parlimen Bangi itu juga berharap dapat melangkah ke hadapan bersama untuk memupuk persaudaraan di kalangan ahli politik di Malaysia.
"Terutamanya atas isu perikemanusiaan dan atas semangat memberi "constructive feedback" antara satu sama lain.
"Macam ini lah boleh kita wujudkan satu budaya politik yang lebih matang di negara kita," katanya.
Ong juga memuji Noraini yang disifatkkanya sebagai seorang ahli parlimen "yang tekun dan rajin" membela rakyat yang diwakilinya.
"Dia ambil berat pengundinya dan tanggungjawab sebagai MP dan menteri pengajian tinggi," jelasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai