Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KKM kaji bagaimana 7 kes dari India berjangkit Covid-19

Walaupun semua diuji negatif sebelum berlepas, tujuh daripada 132 individu yang dihantar pulang dari India ke Malaysia awal minggu ini kemudian dijangkiti Covid-19.

Kesemua 132 individu itu kini ditempatkan di bawah kuarantin selama 21 hari untuk pemantauan.

Ketika dihubungi, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tempoh kuarantin yang lebih lama akan membolehkan kementerian mengkaji bagaimana tujuh kes itu terlepas daripada pengesanan awal.

"Varian baru ini, kita tidak betul-betul tahu sifat virusnya.

"Apa yang kita tahu adalah ia merebak dengan cepat dengan kadar kematian yang tinggi dan mungkin tidak dapat dikesan pada awalnya. Oleh itu, kita memerlukan masa kuarantin yang lebih lama,” katanya.

Hanya penumpang negatif Covid-19 yang dibenarkan dalam penerbangan 12 Mei lalu.

Di dalam penerbangan Malindo Air yang disewa khas itu adalah 117 rakyat Malaysia, enam orang tanggungan, seorang penduduk tetap Malaysia dan lapan warganegara Brunei.

Noor Hisham berkata, kementerian belum dapat menentukan sama ada tujuh kes positif itu mempunyai kemungkinan dijangkiti varian yang membimbangkan.

"Sampel untuk urutan genomik penuh telah diambil dan memerlukan waktu, kerana kita perlu mengkulturkan virus sebelum penjujukan genom penuh," katanya.

India adalah antara negara yang paling teruk terjejas oleh Covid-19.

Varian B.1.617 berasal dari negara Asia Timur dan dilaporkan lebih mudah menular dan mampu menyebabkan penyakit serius kepada mereka yang berusia di bawah 50 tahun.

Malaysia sebelum ini mencatatkan dua kes varian India.

Seorang earganegara India tiba dari India bulan lalu dan diuji negatif Covid-19 dua kali. Namun, dia kemudian mengalami simptom Covid-19 yang teruk dan meninggal dunia pada 21 April.

Kes kedua juga adalah individu yang tiba di Malaysia pada 10 April dan kemudian positif.

Penerbangan penumpang dari India telah disekat kecuali untuk rakyat Malaysia dan tanggungan mereka yang kembali dalam penerbangan misi kemanusiaan dan bencana.

Semua yang tiba dari India kini perlu dikuarantin selama 21 hari.