Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

PKP 3.0: Kerajaan digesa perkenal pakej rangsangan baru

Perintah kawalan pergerakan (PKP) yang terbaru memerlukan satu lagi pakej rangsangan, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Lim menolak dakwaan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang berkata PKP 3.0 tidak akan memberi kesan yang signifikan terhadap pertumbuhan ekonomi.

"Cuba katakan sedemikian kepada perniagaan dalam sektor pelancongan yang akan gulung tikar atau mereka yang mengalami kerugian besar di sektor runcit disebabkan PKP.

"Adakah Perikatan Nasional memberi isyarat bahawa tidak ada bantuan kerajaan yang akan diberikan di bawah PKP 3.0?" kata Lim dalam satu kenyataan media hari ini.

Bekas menteri kewangan itu menambah bahawa masyarakat dan ekonomi sekarang sangat memerlukan "talian hayat" dan mencadangkan suntikan fiskal langsung RM45 bilion untuk memperlahankan pemberhentian pekerja, kehilangan pekerjaan, penutupan perniagaan dan melindungi penghidupan.

Antara lain, Lim mengatakan suntikan fiskan itu boleh digunakan seperti berikut:

  • RM12 bilion untuk kebajikan bulanan sehingga RM1,000
  • Moratorium automatik bagi pembayaran pinjaman bank, kecuali bagi 20 peratus teratas sehingga akhir program vaksinasi.
  • RM6.5 bilion untuk memperluas insentif Malaysia@Work bagi pengambilan pekerja yang dimulakan pada era Pakatan Harapan (PH)
  • RM3.5 bilion untuk membeli komputer riba untuk pelajar menyertai aktiviti e-pembelajaran
  • RM23 bilion untuk perniagaan yang terjejas oleh kemelesetan dan PKP dalam bentuk pemberian, subsidi, jaminan dan pemberian kredit.
Mengenai cadangannya untuk moratorium pembayaran pinjaman, Lim mengatakan ia berpotensi untuk membantu lapan juta rakyat Malaysia.
Jelasnya, ia harus ditanggung oleh bank yang mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM22 bilion pada tahun 2020 dan RM32.3 bilion pada tahun 2019.

Lim memberi amaran bahawa tanpa adanya pakej rangsangan baru, pekerjaan dan penghidupan akan terjejas, begitu juga unjuran pertumbuhan ekonomi 7.5 peratus untuk tahun ini.

PKP 3.0 seluruh negara dikenakan pada 12 Mei dan akan berakhir pada 7 Jun.
Walaupun kebanyakan industri dibenarkan beroperasi seperti biasa, sekolah tetap ditutup dan larangan rentas negeri dan daerah dikuatkuasakan.

Tidak seperti dua PKP di seluruh negara sebelumnya, PKP kali ini tidak disertakan dengan pakej rangsangan ekonomi.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan kehabisan wang dan Putrajaya baru-baru ini menggunakan dana dari Kumpulan Wang Amanah Negara (Kwan).