Rumah terbakar petang Syawal: Dua beranak rayu tempat berteduh
Semasa orang ramai menyambut Aidilfitri petang semalam, Muhammad Azhar Tahar Suhaimi, 23, bersama ibunya tersentak, hanya mampu melihat rumah pusaka yang didiami mereka di Kampung Sayong Tengah di Kuala Kangsar hangus dijilat api, dan hari ini tempat berteduh bagi mereka untuk hari-hari berikutnya, masih nampak samar.
Kejadian kira-kira pukul 6.30 petang 1 Syawal yang memusnahkan rumah kampung dua tingkat berusia lebih 60 tahun yang didiami Muhammad Azhar bersama ibunya Halimah Bistaman, 66, itu dengan sekelip mata mengakibatkan dua beranak kini tiada lagi tempat tinggal, terpaksa menumpang di rumah saudara.
Menceritakan mengenai kejadian, Muhammad Azhar yang melecur pada kanan tangan, bahu dan kanan kepala akibat kebakaran itu berkata beliau bersama ibunya hanya sempat menyelamatkan beg duit serta kunci keretanya semasa kejadian.
Pelajar semester dua Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Arkitek Landskap itu berkata beliau buntu, bagaimana hendak menghadiri kuliah secara dalam talian Isnin depan memandangkan komputer ribanya telah rosak dan telefon bimbitnya pula hangus dalam kebakaran.
"Semua pelan-pelan lukisan dan hasil projek tahun akhir ketika diploma dahulu turut terbakar. Saya tidak tahu hendak buat macam mana untuk menyertai kelas Isnin depan. Mungkin saya perlu meminjam dahulu telefon bimbit kawan saya untuk sertai kelas dalam talian," katanya ketika ditemui Bernama di Kuala Kangsar hari ini.
"Saya juga harap agar ada bantuan rumah daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau mana-mana pihak, memandangkan saya masih belajar dan tinggal berdua sahaja dengan emak yang kini hilang tempat berteduh," katanya.
Sementara itu Halimah berkata beliau sama sekali tidak menyangka kejadian berkenaan akan menimpa mereka dua beranak di hari pertama Syawal.
Bekas pekerja kilang yang menerima bantuan bulanan Baitulmal itu berkata dia hanya membuat persediaan Hari Raya Aidilfitri secara sederhana berikutan arahan Perintah Kawalan Pergerakan yang melarang aktiviti ziarah tahun ini.
"Saya berasa amat sedih dan tidak dapat menyelamatkan barang-barang penting, malah lebih sedih lagi apabila kejadian berlaku pada petang raya, namun saya berterima kasih kerana ramai jiran-jiran yang prihatin dan memberi bantuan makanan serta sumbangan.
"Saya tetap reda dan bersyukur kerana kami berdua selamat walaupun buat masa ini kami terpaksa menumpang di rumah saudara yang tinggal berdekatan," katanya.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai