ULASAN | Apa kesudahan konflik Palestin-Israel
ULASAN | Beberapa rakaman video telah tular di seluruh dunia memaparkan kekejaman terkini yang telah dilakukan oleh tentera rejim Zionis antara lainnya menendang seorang individu Muslim rakyat Palestin yang sedang mendirikan solat di dalam kawasan suci umat Islam di Baitulmaqdis.
Tanpa ada rasa sifat hormat sesama manusia, lebih-lebih lagi sewaktu umat Islam di seluruh dunia, terutama di Palestin yang sedang melakukan ibadah di bulan Ramadan yang mulia ini diperlakukan sedemikian rupa.
Baitulmaqdis, kota suci bagi tiga agama iaitu Islam, Judaisme dan Kristian menjadi rebutan di antara kedua-dua negara Palestin dan Israel dalam konflik berpanjangan yang berdekad lamanya.
Sewaktu zaman Empayar Uthmaniyah, Palestin adalah sebuah kawasan majoriti berpenduduk Muslim. Setelah kejatuhan Empayar Muslim yang gagah ini, wilayah Palestin ditadbir oleh pihak British yang menyokong penubuhan negara Israel dalam wilayah Palestin.
Sokongan penubuhan negara Israel ini telah dibuat menerusi Pengisytiharan Balfour pada tahun 1917. Semenjak itu, pemindahan penduduk Yahudi ke Palestin semakin bertambah dari tahun ke tahun.
Pada tahun 1936, pihak Arab memberontak ke atas pihak British dan Yahudi. Pentadbir British menubuhkan Suruhanjaya Peel bagi mengenalpasti masalah yang mendorong ke arah terjadinya pemberontakan ini.
Hasil dapatan Suruhanjaya ini menyebut bahawa konflik terjadi kerana kedua-dua pihak Arab dan Yahudi ingin mentadbir tanah yang sama.
Bagi mengatasi masalah ini, Suruhanjaya Peel kemudiannya mencadangkan agar Palestin dibahagikan kepada dua wilayah, iaitu wilayah untuk negara Arab Palestin dan negara Yahudi Israel.
Masyarakat Yahudi menegaskan Palestin ialah tanah tradisi mereka, suatu penyataan yang ditolak keras oleh dunia Arab.
Atas dasar ini, Palestin tidak bersetuju dengan pelan ‘penyelesaian dua negara’ mengakibatkan pertikaian yang tidak berkesudahan sehingga ke hari ini. Ini juga telah menjerumus kedua belah pihak kekancah pertelingkahan sempadan dan wilayah ‘negara’ masing-masing.
Palestin negara berdaulat
Kekejaman dan jenayah antarabangsa yang telah dilakukan terutama atas rakyat Palestin bukanlah sesuatu yang baru sahaja berlaku malah telah berpanjangan berdekad lamanya.
Konflik berterusan ini berpanjangan antara lainnya kerana pertikaian kawasan wilayah bagi negara Israel dan isu kedaulatan negara Palestin.
Pun begitu, pada 4 Disember 2012, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meluluskan Resolusi 67/19 mengenai status Palestin di PBB.
Resolusi ini telah mengiktiraf Palestin sebagai sebuah ‘negara’ bukan Ahli PBB daripada status Pemerhati Tetap di PBB.
Ini secara tidak langsung dunia, melalui PBB, mengiktiraf kedudukan negara Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, walaupun belum menjadi ahli PBB. Ini kerana bagi menjadi ahli PBB, ianya mestilah dipersetujui oleh Majlis Keselamatan PBB.
Umum mengetahui bahawa rakan sekutu Israel iaitu Amerika Syarikat yang merupakan salah satu Ahli Tetap Majlis Keselamatan PBB tidak akan merelakan perkara ini daripada berlaku.
Bagaimanapun, ini bukanlah penghalang bagi Palestin dari menjadi sebuah negara berdaulat di mata dunia.
Keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa
Pada 5 Februari tahun ini, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang terletak di The Hague, Belanda telah membuat keputusan mengenai situasi di negara Palestin.
Mahkamah tersebut mendapati bahawa ia mempunyai bidang kuasa atas jenayah yang telah dilakukan oleh Israel di dalam wilayah negara Palestin, antara lainnya jenayah perang dan jenayah kemanusiaan.
Berdasarkan kepada keputusan yang sama, Mahkamah Jenayah Antarabangsa juga mendapati bahawa wilayah negara Palestin meliputi wilayah-wilayah yang telah diduduki oleh Israel semenjak tahun 1967, iaitu Gaza, Tebing Barat dan juga Baitulmuqaddis Timur.
Menurut laporan berita dalam dan luar negara, serangan dan kekejaman yang telah dilakukan oleh rejim zionis baru-baru ini masih lagi dilakukan atas rakyat Palestin di dalam wilayah negara Palestin.
Ini seolah-olah meremehkan, membelakangkan dan tidak mengendahkan keputusan-keputusan Mahkamah Jenayah Antarabangsa ini.
Kelakuan biadap dan tidak berperikemanusiaan ini seharusnya tidak dilakukan oleh sebuah ‘negara’ yang kononnya mendokong prinsip undang-undang antarabangsa dan kemanusiaan.
Dunia memandang konflik ini sebagai konflik agama tetapi hakikatnya, ia bersangkut paut juga dengan nasionalisme kedua-dua bangsa.
Mungkin sudah tiba masanya bagi masyarakat Arab Palestin mengambil jalan tengah secara diplomasi.
Bukan bermaksud menerima kekalahan apalagi mengiktiraf kewujudan Israel. Selama ini, perpecahan dunia Arab dan kelemahan Palestin yang memberikan ruang untuk Israel melakukan penindasan dan terus menunjukkan taringnya.
Al-Quran menerusi Surah Ar-Ra’d, ayat 11 ada menyebut bahawa Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.
Melainkan negara-negara Islam sehati sejiwa bangkit bersama menentang Israel, apalah kekuatan yang ada pada Palestin bagi mengimbangi pengaruh besar Israel yang didalangi Amerika Syarikat?
Apakah akan wujud kuasa besar di kalangan negara-negara Islam di masa akan datang?
Umat Islam perlu mengambil iktibar dari zaman kegemilangan Islam yang terdahulu dengan menguasai ilmu pengetahuan, sains dan teknologi selain ilmu-ilmu agama agar dapat membina kekuatan dan pengaruh.
Sepertimana Jepun, sebuah negara kecil di Timur menjadi kuasa hebat di dunia sehingga kini meskipun tewas sewaktu Perang Dunia Kedua dan China, negara yang telah diperkotak-katikkan Eropah ketika zaman penjajahan tetapi kini disegani kerana teknologi hebatnya.
Seruan ini bertepatan dengan surah pertama yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW, menerusi Surah Al-Alaq dengan ayat pertamanya berbunyi ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan sekalian makhluk’.
Semoga negara-negara Islam terus bersatu hati untuk bersama mendokong kedaulatan Palestin. Jangan sampai satu hari nanti negara Palestin sekadar tinggal coretan sejarah Asia Barat semata-mata.
Insya Allah Palestin akan bebas!
FAREED MOHD HASSAN, MOHD HAZMI MOHD RUSLI ialah pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia.
Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai