Dr Adham nafi doktor diarah hanya selamatkan pesakit muda Covid-19
Menteri Kesihatan Dr Adham Baba menafikan doktor mengutamakan pesakit berusia muda dan menolak pesakit warga emas dalam menggunakan alat bantuan pernafasan kerana kekurangan sumber perubatan.
“Tidak benar. Kita belum sampai ke tahap itu,” katanya, petik laporan The Malaysian Insight.
KKM, jelas Dr Adham senantiasa mempertingkat keupayaannya dan bekalan peralatan supaya memastikan ia dapat digunakan oleh setiap orang yang memerlukan.
Adham mengulas hantaran di Twitter dikatakan daripada petugas kesihatan barisan depan yang mendakwa pesakit yang lebih tua dengan komorbiditi tidak akan mendapat sokongan alat bantuan pernafasan. Ciapan tersebut kemudiannya dipadamkan.
"Sekiranya anda berusia di atas 60 tahun dengan komorbiditi yang datang (mendapatkan rawatan) dengan Covid-19 yang teruk, kami tidak akan melakukan intubasi kepada anda kerana kami menyimpan ventilator untuk pesakit yang lebih muda dengan premorbid yang baik.
"Masa untuk rawatan idealistik telah berlalu. Kami perlu merawat dengan sumber daya yang terhad,” kata ciapan itu.
Doktor lain petugas barisan depan, bagaimanapun, mengatakan mereka tidak diarahkan untuk mengutamakan ventilator untuk pesakit yang lebih muda.
Seorang doktor di Terengganu yang enggan dinamakan berkata dia tidak menerima arahan seperti itu dan tidak pernah mendengar khabar sedemikian.
Untuk mengatakan sesuatu seperti ini bertentangan dengan sumpah etika kedoktoran, jelas doktor itu.
"Kecuali sumber daya menjadi sangat terhad, misalnya anda mempunyai 300 pesakit tetapi hanya 100 ventilator, maka kerajaan mungkin boleh mengatakan begitu. Sekarang sumber kami berkurangan, tetapi masih dapat dikendalikan,” katanya.
Seorang doktor lain, yang berpusat di Pulau Pinang, juga menafikan khabar angin itu.
Dia berkata adalah tidak wajar untuk menafikan pesakit mendapat alat bantuan pernafasan walaupun katil unit rawatan intensif (ICU) telah penuh.
Setakat hari ini, 481 kes sedang dirawat ICU dengan 247 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengatakan kes Covid-19 harian boleh mencecah 10,000 kes dalam beberapa minggu ke depan jika tiada sekatan mencegah penularan wabak itu.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah telah mengarahkan pengarah hospital di seluruh negara untuk menangani satu lagi lonjakan kes kerana beberapa faktor seperti penularan lebih cepat, musim perayaan dan liputan vaksinasi yang tidak mencukupi.
Pada 8 Mei, Noor Hisham memaklumkan data yang menunjukkan empat hospital di Lembah Klang sudah beroperasi di luar kemampuan dan katil-katil ICU di 19 hospital awam di seluruh negara telah dipenuhi dengan lebih 70 peratus pesakit Covid-19.
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai