Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sinovac, AstraZeneca tak digalak untuk wanita hamil, menyusui bayi - KKM

Menurut garis panduan vaksinasi Covid-19 terbaru oleh Kementerian Kesihatan, wanita hamil dan menyusui bayi tidak disarankan mengambil vaksin Sinovac dan AstraZeneca.

Sinovac didapati mempunyai kontraindikasi (tanda bahawa vaksin harus dihentikan kerana kesan mudarat) bagi kategori wanita tersebut.

"Menurut informasi produk CoronaVac (pada saat penelitian), tidak dianjurkan pada wanita hamil atau menyusui bayi," kata garis panduan tersebut.

Ia tidak menjelaskan apakah kesan sampingan vaksin jika diambil oleh wanita hamil atau menyusui bayi itu.

Maklumat itu diperolehi daripada modul latihan oleh jabatan komunikasi korporat Pharmaniaga. 

Syarikat berkaitan kerajaan itu telah ditugaskan untuk membotolkan vaksin tersebut.

Dokumen Garis panduan klinikal mengenai Vaksinasi Covid-19 di Malaysia itu terbit pada 13 April 2021.

KKM juga tidak menyarankan vaksin AstraZeneca untuk wanita menyusui bayi kerana kekurangan data.

Ia menyatakan saranan itu bukan kerana risiko pembekuan darah.

"Tidak ada bukti bahawa wanita hamil, wanita postpartum atau wanita yang menggunakan alat kontraseptif berisiko tinggi terhadap keadaan trombosis (gumpalan darah) yang spesifik dalam kombinasi dengan trombositopenia setelah vaksin AstraZeneca.

"Tidak ada kes yang disahkan dilaporkan pada wanita hamil hingga kini," katanya.

Mengenai vaksin Pfizer-BioNTech, garis panduan tersebut tidak mencatat sebarang kontraindikasi untuk wanita hamil dan menyusui bayi.

Walau bagaimanapun, ia menasihati ibu hamil dan menyusui bayi supaya terlebih dahulu membincangkan masalah ini dengan penyedia penjagaan kesihatan mereka dan mempertimbangkan pendedahan risiko dan risiko mendapat jangkitan Covid-19 yang teruk sebelum vaksinasi.

AstraZeneca kini diberikan secara sukarela berdasarkan prinsip individu di Lembah Klang yang mendaftar awal akan mendapat vaksin itu terlebih dahulu.

UK telah memberi lampu hijau vaksin AstraZeneca untuk wanita hamil tetapi menasihati mereka supaya terlebih dahulu berunding dengan profesional penjagaan kesihatan bagi penilaian risiko.

Brazil telah menangguhkan suntikan vaksin AstraZeneca kepada wanita hamil selepas seorang ibu mengandung meninggal dunia akibat strok setelah mengambilnya.

Semalam, Ahli Parlimen Bakri, Yeo Bee Yin mendesak Putrajaya mengumpulkan data mengenai bagaimana berbagai vaksin Covid-19 akan memberi kesan terhadap ibu mengandung.

Bekas menteri itu juga mencadangkan komunikasi yang lebih baik mengenai cadangan kerajaan kepada wanita-wanita ini. 

Dia mencadangkan agar mewajibkan semua pakar kebidanan dan pakar sakit puan untuk memberitahu pesakit mereka mengenai kesan pengambilan sesuatu vaksin.

[Baca laporan penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.