Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysiakini mohon semakan ketepi sabitan kes menghina

Malaysiakini memohon semakan kepada Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan sabitannya yang mendapati organisasi berita ini bersalah menghina mahkamah atas komen lima pembaca.

Usul itu difailkan minggu lalu oleh peguam Surendra Ananth.

Dalam permohonannya, Malaysiakini memohon tuduhan penghinaan diketepikan supaya kes itu dapat didengar semula di Mahkamah Persekutuan.

"Majoriti (hakim) Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya pada 19 Februari 2021 menangani isu dan/ atau perkara tertentu tanpa memberi peluang kepada pemohon (Malaysiakini) untuk pendengaran sama.

"Ini pelanggaran prinsip keadilan semula jadi.

"Keputusan majoriti itu bertentangan dengan Seksyen 98 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," kata usul itu.

Seksyen 98(2) akta tersebut memperuntukkan "pematuhan suatu kod industri sukarela berdaftar hendaklah menjadi suatu pembelaan terhadap apa-apa pendakwaan, tindakan atau prosiding daripada apa-apa jenis, sama ada dalam mahkamah atau selainnya, yang diambil terhadap seseorang (yang tertakhluk kepada kod industri sukarela itu) berkenaan dengan suatu perkara yang diperkatakan dalam kod itu."

Hakim mahkamah paling tinggi negara yang membuat keputusan majoriti 6-1 ialah Presiden Mahkamah Rayuan Rohana Yusof, Hakim Besar Mahkamah Tinggi Malaya, Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Abang Iskandar Abang Hashim; dan Hakim Mahkamah Persekutuan, Mohd Zawawi Salleh, Vernon Ong Lam Kiat dan Abdul Rahman Sebli.

Sementara itu, hakim yang tidak bersetuju dengan keputusan itu pula ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, P Nallini yang berpendapat Malaysiakini tidak melakukan kesalahan menghina atas komen pembaca berkenaan.

Pengurusan kes permohonan Malaysiakini, tindakan undang-undang yang jarang berlaku untuk meminta semakan keputusan mahkamah tertinggi, akan dilakukan secara dalam talian. Ia telah ditetapkan pada 11 Jun.

Guna lebihan sumbangan dana

Mahkamah sebelum ini menjatuhkan denda RM500,000, jauh lebih tinggi daripada RM200,000 yang diminta oleh Jabatan Peguam Negara.

Melalui kempen kutipan dana, dalam masa sehari portal berita ini dapat mengumpulkan jumlah denda tersebut, malah berlebihan.

Sebahagian daripada lebihan dana daripada kempen kutipan dana dalam talian akan digunakan untuk permohonan semakan kehakiman ini.

Sabitan terhadap Malaysiakini telah menjadi tajuk utama media antarabangsa.

Masyarakat sivil, ahli politik dan diplomat juga telah membangkitkan kebimbangan mengenai kesan keputusan tersebut terhadap kebebasan akhbar di Malaysia.

Peguam dan kumpulan wartawan juga khuatir bagaimana media sekarang diharapkan dapat mengendalikan ruangan komen yang mungkin menyebabkan wacana awam terhakis.

[Baca laporan penuh]