Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelajar UiTM tak pulang beraya bagi lindungi keluarga dari Covid-19

Pengorbanan para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam yang memutuskan untuk tidak pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman diharap mampu melindungi keluarga masing-masing daripada jangkitan wabak Covid-19.

Seorang daripada pelajar yang mengambil keputusan untuk beraya di Kolej Kediaman Perindu, UiTM Hanafi Hanizan, 21, berkata antara sebab utama beliau tidak balik beraya ke Kota Tinggi, Johor pada tahun ini adalah demi kesejahteraan bersama.

"Kita dapat tahu bahawa sekarang kes semakin naik, jadi kita tidak mahu menjadi penyumbang kepada peningkatan kes bagi negeri Johor pula.

“Kita dari Selangor ke Johor takut kita nanti bawa kes pulak, jadi itu yang dikatakan kesejahteraan bersama untuk kita memerangi Covid-19," ujar pelajar semester pertama jurusan Juruukur Bangunan itu kepada Bernama.

Tinjauan Bernama di UiTM mendapati pelajar yang mengambil keputusan untuk tidak pulang beraya di kampung masing-masing membuat persiapan menyambut Aidilfitri di kolej kediaman mereka termasuk memasang pelita.

Bagi Faizal Happipi Japar, 23, pelajar semester ketiga jurusan Sains Sukan dari Nabawan, Sabah berkata Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan di seluruh negara akan menjadi pengalaman yang berguna satu hari nanti.

"Beraya tanpa keluarga tidak mengapa sebenarnya, kerana suatu hari nanti kita juga akan mengalami pengalaman ini. Jadi nasihat saya agar mereka kekal tenang sebab semua ini tidak dapat dielak," katanya yang sudah tiga tahun tidak balik beraya di kampung halaman.

Bagi Pengetua Kolej Kediaman Perindu UiTM Shah Alam, Sumardianshah Silah, 36, berkata pelajar dari Sabah dan Sarawak merupakan pelajar yang paling ramai tidak pulang berhari raya pada tahun ini.

Beliau berkata untuk sambutan hari raya esok, pihak UiTM telah menempah juadah Aidilfitri untuk membolehkan para pelajar turut merasai suasana sambutan perayaan itu bersama rakan-rakan sekolej.

Bernama