Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

K'jaan mesti bantu keluarga miskin bandar ketika PKP 3.0 - Ahli ekonomi

Berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ketiga (PKP 3.0), seorang ahli ekonomi terkemuka menggesa kerajaan memberikan bantuan segera kepada keluarga yang terjejas selama lebih satu tahun.

Tanpa bantuan kerajaan, Muhammed Abdul Khalid bimbang golongan miskin gagal mengatasi kesan buruk akibat pengurangan pendapatan, penutupan sekolah dan tekanan psikologi.

Bercakap dalam forum atas talian hari ini, Muhammed mengemukakan kajian yang mendapati kira-kira empat daripada 10 keluarga miskin bandar yang diselidiki menghabiskan simpanan mereka untuk bertahan, meskipun mendapat bantuan kerajaan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Ketika kita melaksanakan PKP 1.0 dan 2.0, ada banyak bantuan kerajaan - ada moratorium pinjaman, bantuan tunai, geran untuk peniaga kecil dan subsidi upah. Untuk flat kos rendah (PPR) terdapat pengecualian sewa dan potongan sewa.

"Sudah satu tahun, mereka telah menghabiskan semua simpanan dan kita tahu mereka meminjam wang. PKP 3.0 ini akan memberi kesan buruk, saya selalu memikirkan apa yang akan berlaku.

"Pelaksanaan PKP 3.0 harus disertai dengan bantuan berterusan," katanya.

PKP 3.0 di seluruh negara, yang bermula esok (12 Mei) hingga 7 Jun, melarang sebarang aktiviti sosial tetapi membolehkan kebanyakan sektor ekonomi beroperasi.

Kerajaan belum mengumumkan sebarang pakej rangsangan kewangan seperti yang dilakukan ketika PKP 1.0 dan 2.0.

Muhammad sebelum ini mengetuai Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) dan merupakan penasihat ekonomi kepada perdana menteri terdahulu, Dr Mahathir Mohamad.

Ramai tertekan

Kaji selidik itu merupakan sebahagian daripada laporan Families On The Edge bertajuk "Dua langkah ke hadapan, satu langkah ke belakang: Kebiasaan baru untuk miskin bandar di Malaysia".

Dijalankan oleh kumpulan pemikir diketuai Muhammad, DM Analytics Malaysia untuk Unicef ​​dan UNFPA Malaysia, kajian itu melihat kesan wabak Covid-19 terhadap 500 keluarga yang tinggal di PPR di Kuala Lumpur setakat Mei 2021.

Meskipun ada penambahbaikan sejak setahun yang lalu, tingkat pengangguran di antara isi rumah ini terus tinggi (12 peratus) daripada purata nasional (4.8 peratus).

Ini terutama berlaku dalam isi rumah yang diketuai oleh orang kurang upaya (27.8 peratus) atau wanita (15.9 peratus).

Trend yang serupa diperhatikan dalam pendapatan median isi rumah.

Bagi isi rumah yang mempunyai anak yang bersekolah, majoriti memilih untuk ke sekolah berbanding menghadiri kelas dalam talian dari rumah.

Ini terutamanya disebabkan kekagan ruang (49 peratus), penjaga tidak dapat mengawasi anak-anak (43 peratus) dan kekurangan peralatan (23 peratus).

Bagi kanak-kanak dalam isi rumah ini, tinjauan mendapati majoriti kehilangan fokus (78 peratus) atau kehilangan minat (61 peratus) dalam pelajaran mereka.

Sekali lagi, keadaan ini lebih teruk pada isi rumah yang diketuai wanita.

Pembelajaran dalam talian

Ketua keluarga perempuan juga mengatakan mereka lebih takut kepada wabak ini kerana tidak dapat memperoleh cukup wang untuk menyediakan makanan untuk anak-anak mereka (50 peratus), membolehkan anak-anak mereka mengakses pendidikan yang sempurna (39 peratus) dan menjimatkan wang untuk persaraan (35 peratus).

Semua tekanan ini mempengaruhi keadaan mental mereka, dengan kira-kira satu daripada empat (28 peratus) ketua rumah tangga wanita mengatakan mereka merasa tertekan.

Secara keseluruhan, satu daripada lima (21 peratus) ketua rumah tangga miskin bandar ini mengatakan mereka merasa tertekan.

Ramai perlukan bantuan tunai

Tinjauan itu juga melihat kesan bantuan kerajaan terhadap isi rumah.

Empat daripada 10 (42 peratus) mengatakan mereka masih memerlukan bantuan tunai BPN.

Yang lain mengatakan mereka memerlukan bantuan tunai daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (18 peratus), Jabatan Kebajikan Masyarakat (18 peratus) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (13 peratus).

Ketika ditanya mengenai strategi kewangan mereka, dua jawapan teratas adalah daripada simpanan mereka sendiri (39 peratus) dan / atau bantuan kerajaan (32 peratus).

Kira-kira satu daripada empat (25 peratus) isi rumah mengatakan mereka mengatasinya dengan mengurangkan pengambilan makanan.