Zuraida: DAP macam 'abang besar' mahu Cina ikut telunjuk
Anggota Majlis Tertinggi Bersatu Zuraida Kamaruddin mendakwa tempoh pendek pentadbiran PH telah menunjukkan DAP memiliki kecenderungan untuk menjadi 'abang besar'.
Ini selepas Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong menasihatkan Umno supaya menerima hakikat tiada lagi parti dominan, induk, teras atau ‘abang besar’.
Kata Zuraida, DAP perlu mencerminkan diri mereka dalam hal ini.
"Pengalaman bersama mereka dalam mentadbir kerajaan PH selama 22 bulan lalu telah menampakkan belang sebenar DAP sendiri yang cuba menjadi dominan dalam masyarakat Cina di Malaysia.
"Ini terbukti antaranya dengan keputusan menyalurkan peruntukan dana khas kepada sebuah kolej persendirian, terus daripada Kementerian Kewangan pada waktu itu dan tidak melalui Kementerian Pendidikan," dakwanya pada hantaran di media sosial hari ini.
Menurut Zuraida, DAP dengan cara ini "cuba mengukuh cengkaman" terhadap komuniti Cina.
"Setiap percakapan dan perbuatan mereka dinisbahkan dan disandarkan kepada kaum Cina sedangkan mereka bukanlah satu-satunya pihak yang mewakili kaum tersebut.
"Maka, adakah DAP tidak bertindak sebagai "abang besar" kepada komuniti Cina dalam negara ini?
"Tindakan dan kenyataan mereka jelas membuktikan bahawa mereka sememangnya mahu masyarakat Cina di Malaysia berada di bawah telunjuk DAP. Ini adalah perkara yang tidak sihat untuk Malaysia," katanya.
Zuraida mengulas kenyataan Liew semalam yang berkata politik Malaysia akan stabil apabila Umno menerima hakikat rela hadir bersama atau “co-exist” dengan parti-parti lain, sama ada dalam kerajaan atau pembangkang.
"Langkah Sheraton berlaku kerana ramai pemimpin Umno masih berfikiran lama dan tidak rela menerima hakikat kekalahan mereka dalam PRU14.
"Akhirnya strategi itu telah memakan diri sendiri," kata Liew.
Zuraida juga berkata wajah baru politik negara wajar memperlihatkan keharmonian sebenar, bukan retorika di dalam penulisan atau ucapan.
"Semua pemimpin adalah pemimpin untuk semua bangsa," tegasnya.
Liew menyuarakan nasihatnya selepas bekas perdana menteri Najib Razak pada wawancara baru-baru ini mendakwa kemelut politik negara boleh selesai dengan Umno dan Barisan Nasional (BN) sekali lagi dipilih oleh rakyat menjadi induk politiknya.
Najib berkata amalan demokrasi di Malaysia memerlukan sebuah parti teras yang akan membolehkan kerajaan stabil.
Najib antara pemimpin Umno yang kritikal terhadap kerajaan Perikatan Nasional yang mana Umno menjadi sebahagian daripadanya.
Secara rasmi, Umno telah memutuskan untuk mengakhiri kerjasama dengan Bersatu dan PN sebaik PRU15 bermula.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai