Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Cuepacs: Hadi beri gambaran penjawat awam tidak amanah

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) membidas Presiden PAS Abdul Hadi Awang, yang menuntut supaya penjawat awam melepaskan jawatan sekiranya mereka tidak selesa dengan kerajaan yang bukan daripada parti yang disokong mereka.

Presidennya, Adnan Mat berkata kenyataan duta khas perdana menteri ke Timur Tengah itu seolah-olah memberi gambaran bahawa penjawat awam di negara ini tidak amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Gesaan agar penjawat awam yang tidak selesa dengan kerajaan semasa pada hari ini untuk melepaskan jawatan mereka seolah-olah memberi gambaran bahawa penjawat awam tidak amanah dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kepada rakyat serta negara.

“Cuepacs merasakan apa-apa perkara yang cuba mengaitkan profesionalisme penjawat awam ketika semua pihak sedang fokus mendepani cabaran pandemik Covid-19 adalah tidak wajar dan sesuai,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Menurut Adnan, walaupun kerajaan dan kepimpinan tertinggi bertukar ganti, penjawat awam tetap setia dalam melaksanakan setiap dasar dan polisi yang diputuskan demi kebaikan rakyat dan negara dengan penuh profesionalisme.

"Walaupun setiap penjawat awam mempunyai ideologi dan pandangan politik masing-masing, Cuepacs percaya dan memberi jaminan bahawa penjawat awam sangat profesional dan berkecuali dalam melaksanakan tanggungjawab serta boleh membezakan kepentingan awam yang dipikul mereka," katanya dalam satu kenyataan.

Semalam Abdul Hadi dilaporkan berkata penjawat awam mesti mengikut arahan kerajaan walaupun mereka tidak menyokong parti yang membentuk kerajaan itu.

Kata presiden PAS itu jika penjawat awam berasa tidak selesa dengan kerajaan bukan daripada parti yang disokong mereka, secara moral mereka boleh meletakkan jawatan.

Menurutnya, mengikut peraturan, pegawai yang dikekalkan mestilah mengikut arahan kerajaan yang dikuasai oleh parti yang memerintah, walaupun mereka tidak menyokong parti yang menjadi kerajaan.

“... secara moral mereka boleh sahaja meletakkan jawatan dan tidak memegang jawatan mengikut kemahuannya,” katanya dalam hantaran di Facebooknya.

Untuk rekod Abdul Hadi juga pernah membuat catatan mengenai keberadaan penjawat awam ketika negara sedang ditadbir oleh Pakatan Harapan pada 19 April 2019.

Dalam lontaran pandangannya itu Abdul Hadi menggesa agar kerajaan tidak memusuhi penjawat awam.

"Sebenarnya kita mempunyai penjawat awam yang berkelulusan tinggi dan berpengalaman dalam kerjayanya. Maka janganlah disalahkan mereka sekali pun berlaku banyak perkara yang tidak menyenangkan rakyat.

"Apabila rakyat yang memilih kerajaan melalui pilihan raya, maka jangan menyalahkan penjawat awam yang menjadi jentera kerajaan," katanya ketika itu.

Mengulas lanjut, Adnan berkata semua pemimpin politik sepatutnya memberi keyakinan dan kepercayaan penuh kepada profesionalisme penjawat awam yang selama ini menjadi tulang belakang kepada pentadbiran kerajaan dan negara.

Kata Adnan, semua pihak juga perlu berhenti membuat tuduhan serta memberi persepsi kononnya penjawat awam tidak menyokong atau mahu mensabotaj kerajaan.ara boleh mara ke hadapan.