'Bukan anak saya yang bawa virus varian Afrika Selatan’
Anggota Parlimen Bachok Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menafikan anaknya membawa pulang varian Covid-19 Afrika Selatan sehingga mencetuskan kluster Bunut Sarang Burung di Kelantan, sebagaimana dakwaan yang tersebar di media sosial.
Nik Abduh berkata, mengikut makluman Kementerian Kesihatan (KKM), kluster itu dicetuskan seorang remaja 16 tahun yang pulang ke Kelantan daripada Afrika Selatan.
Bagaimanapun, katanya, anaknya berumur 26 tahun.
"Anak saya berusia 26 tahun, memang betul dia belajar di Afrika Selatan dan pulang ke Kelantan pada 5 April lalu tetapi itu pun selepas selesai menjalani kuarantin wajib selama 10 hari di Kuala Lumpur sebagaimana disyaratkan oleh kerajaan.
"Dia akan kembali semula ke negara berkenaan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti," beliau dipetik sebagai berkata kepada Sinar Harian pada Isnin.
Nik Mohamad Abduh bagaimanapun berkata dia dan keluarga tidak berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang menyebarkan dakwaan tersebut.
"Biar mereka (penyebar) buat pahala banyak-banyak di bulan Ramadan ini," katanya.
Nik Abduh berdepan dakwaan itu setelah dia memuat naik gambar menyambut kepulangan anak sulungnya daripada Afrika Selatan di lapangan terbang Kota Bharu pada 5 April.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai